Ramadan tinggal beberapa hari sahaja lagi, dan sebagai umat Islam, kita semua sedang mempersiapkan diri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bulan ini juga adalah bulan yang penuh rahmat dan berkat, di mana kita dapat memperkuat hubungan dengan keluarga dan orang-orang terdekat. Selama bulan ini, banyak orang berusaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Salah satunya adalah anak yatim.
Beberapa hari lepas, Mommy dan beberapa sahabat #KBBA9 telah dijemput untuk berbuka puasa bersama anak yatim di Masjid Al-Qurtubi, Segambut, yang dianjurkan oleh Ronald McDonald House Charities (RMHC), atau Pusat Kebajikan Ronald McDonald dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Program buka puasa bersama anak yatim ini dianjurkan oleh RMHC Malaysia, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan sebagai sebahagian daripada usaha mereka dalam memberi perhatian dan sokongan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.
Kami semua berkumpul di Masjid Al-Qurtubi pada jam 4 petang, dan terdapat sekitar 120 orang anak yatim dari pelbagai latar belakang yang mula datang beransur-ansur. Majlis dimulakan dengan ucapan doa, diikuti dengan bacaan doa dan ucapan dari Pengurus Besar RMHC Malaysia, Encik Nasri Nordin dan diselingkan dengan tazkirah dari Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sebenarnya, majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri ini sudah menjadi tradisi RMHC Malaysia daripada tahun ke tahun. Ini adalah cara mereka meluaskan capaian dalam mendekati lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan.
Yang membuat acara ini lebih bermakna adalah RMHC Malaysia telah memberikan sumbangan wang tunai untuk persiapan Aidilfitri.
Baca : Jom baca tips masak Resepi asam pedas daging yang sedap
Memberi Harapan di Bulan Ramadan : RMHC Malaysia Sumbang Wang Tunai Kepada Anak Yatim dan Rumah Kebajikan Untuk Persiapan Aidilfitri
“Kedatangan Ramadan amat ditunggu-tunggu untuk kita semua memperbanyakkan lagi amal jariah dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan” – Encik Nasri.
Sebagai badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, sejumlah besar dana RMHC Malaysia datang daripada McDonald’s Malaysia. Contohnya dari sumbangan ikhlas pelanggan-pelanggan McDonald’s yang bermurah hati menderma kepada tabung dan Kiosk Pesanan Layan Diri di restoran McDonald’s, sumbangan itu akan disalurkan 100% kepada RMHC Malaysia.
RMHC Malaysia turut menerima dana daripada syarikat-syarikat korporat dan individu-individu prihatin bagi pelaksanaan program-program utamanya yang berasaskan Kebajikan, Kesihatan dan Pendidikan.
Majlis berbuka puasa ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan wang tunai bernilai RM5000 kepada tiga rumah kebajikan anak yatim terpilih di Lembah Klang iaitu Pertubuhan Nur Kasih Bestari, Rumah Permata Hatiku, dan Rumah Anak Yatim Al-Sagoff. Sumbangan ini bagi meringankan beban pengurusan terutamanya bagi tujuan persiapan menjelang Hari Raya.
McDonald’s Malaysia turut memberikan duit raya kepada anak-anak yatim berjumlah RM100 setiap seorang daripada dana wakalah zakat MAIWP.
Program sumbangan McDonald’s bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada anak-anak yatim, malah memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dengan menderma dan menyokong anak-anak yatim, McDonald’s membantu meningkatkan kualiti hidup mereka dan memberikan harapan dan inspirasi untuk mereka mencapai impian mereka untuk masa depan.
Sumbangan McDonald’s kepada anak-anak yatim juga menjadi contoh kepada syarikat lain dalam memberikan sumbangan dan sokongan kepada masyarakat. McDonald’s menunjukkan bahawa sebagai sebuah syarikat yang berjaya dan terkenal, mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial yang besar terhadap masyarakat.
Mommy sangat berbesar hati apabila mendapat peluang untuk menyertai program ini. Makanan yang disediakan juga sangat enak. Anak-anak yatim yang hadir dalam program ini pula datang dari pelbagai latar belakang. Meskipun mereka mempunyai cerita sedih di dalam hidup mereka, mereka tetap mempamerkan kegembiraan dan begitu bersemangat dan seronok dalam menjamu selera.
Terharu rasanya melihat bagaimana RMHC Malaysia mengambil berat mengenai keperluan dan keselesaan anak-anak yatim tersebut, dalam membantu menyediakan persiapan untuk menyambut raya khasnya. Mommy harap inisiatif seperti ini akan terus diadakan dan diperluaskan lagi dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan kita.