Mon. Jan 13th, 2025

TAK PANDAI SOLAT TAUBAT. INI CARA-CARA SOLAT TAUBAT DAN DOANYA

CARA SOLAT TAUBAT

Manusia. Selagi nama manusia, tidak akan terlepas dari buat kesalahan dan dosa. Mommy terfikir perkara ini bila Hannah tanya ‘apa maksud SIN in Malay’? Susah betul anak omputih celup nih. Dengan isu semasa sekarang, boleh kata hari-hari ada sahaja kematian. Tapi, apakah taubat ini hanya dibuat ketika kita rasa macam nak mati? Sempat ke? Sebaik-baik orang yang berbuat salah, adalah orang yang bersegera bertaubat.

APA MAKSUD TAUBAT?

TAUBAT adalah apabila kita ikhlas menyesali dosa akibat perbuatan diri sendiri dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama serta memohon keampunan dari Allah SWT.

Solat taubat ialah solat sunat yang dilakukan apabila melakukan dosa dan ingin bertaubat kepada Allah.

Rasulullah SAW. telah bersabda: “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT., Allah pasti akan menerima permohonannya itu.

“Mereka yang pernah mengerjakan perbuatan dosa atau telah berbuat dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka bersegera mengingati Allah dengan memohon keampunan Ilahi terhadap dosa yang dilakukan itu. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain Allah? Kemudian itu mereka berasa insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disitulah tempat mereka selamanya.”  (HR Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi.)

APA SYARAT-SYARAT SOLAT TAUBAT?

Syarat-syarat solat taubat adalah :

Bertaubat dengan penuh perasaan seikhlasnya dan sangat menyesali perbuatan dan takutkan azab Allah. Bukan kerana perkara lain seperti ingin dipandang tinggi manusia lain.

Ikhlas untuk bertaubat serta tekad untuk tidak mengulangi kesilapan atau dosa dan perbuatan masa lalu.

Terus meninggalkan kemaksiatan dan dosa yang dibuat, dan terus melakukan suruhan Allah. Contohnya pernah minum arak, berzina, melengahkan solat, maka perlu segera berubah dan bertaubat. Sekiranya mencuri, perlu memulangkan barang yang dicuri.

Dilakukan ketika masih hidup. Jika sudah meninggal, atau matahari sudah terbit dari barat, taubat tidak akan lagi diterima.

BILA BOLEH SOLAT TAUBAT?

Bila-bila masa sahaja kecuali selepas SUBUH DAN ASAR.

Boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat dan sebaik-baik waktu adalah ketika tengah malam (suasana tenang dan damai).

CARA-CARA SOLAT TAUBAT

Panduan ini berpandukan riwayat sahih dari Nabi Muhammad SAW, dan langkah-langkah solat taubat adalah seperti berikut.

Berwuduk

Lafaz Niat “أُصّلِّيْ سُنَّةَ ٱلتَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَىٰ”“Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala”

Surah yang dibaca :

– Rakaat pertama: surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas atau surah-surah lain yang boleh dibaca

– Rakaat kedua:  surah Al-Fatihah, surah An-Nas atau surah-surah lain yang boleh dibaca

– Ketika sujud terakhir, bacalah “لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّيْ كُنْتُ مِنَ ٱلظَّالِمِيْنَ” “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim”.

– Selepas beri salam, terus beristighfar dan memohon ampun dan bertaubat dari Allah. Bacalah

أَسْتَغْفِرُاللَّهَ الْعَظِيْمَ

 اَلَّذِيْ لَا إِلَهَ إِلَّا، هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

“Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya.”

– Selepas itu, anda boleh baca Zikir Taubat Nasuha

إِلٰهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلًا، وَلَاأَقْوَى عَلَى نَارِ ٱلْجِحِيْمِ، فَهَبْ لِيْ تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوْبِيْ، فَإِنَكَ غَافِرُٱلذَّنْبِ ٱلْعَظِيْمِ

“Tuhanku – Aku tidak layak untuk syurgamu, Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa neraka-Mu, Dari itu kurniakanlah keampunan kepadaku, Ampunkanlah dosaku sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar”

– Doa taubat. Boleh doa apa sahaja tanda kita bertaubat bersungguh-sungguh dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan lama. (Ada doa khusus juga, tetapi Mommy tak masukkan di sini).

Luahlah sepenuh hati. Mohonlah kepada Allah untuk ampunkan dosa kita.

Yakinlah Allah itu Maha Pengampun.

HIKMAH SOLAT TAUBAT

Memberi peluang kepada orang yang berdosa kembali ke pangkal jalan

Mendapat keampunan dan petunjuk Allah SWT

Memberi ketenangan hati

Mendekatkan diri dengan Allah SWT

Meningkatkan keimanan kerana menyedari diri tidak sempurna

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua pembaca.

By YB Shehan

YB Shehan merupakan penulis blog Mommy's Diary of Life (www.shehanzstudio.com). Merupakan bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan kini bergelar blogger sepenuh masa.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!