Sat. Dec 7th, 2024

SUSU IBU – MENYIMPAN & MEMBERI

Memastikan anak anda menerima khasiat terbaik susu ibu dengan teknik penyimpanan dan penyediaan yang betul.
Oleh Dr Balkees Abdul Majeed, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi
Pada isu lalu, kami telah membincangkan isu pengeluaran susu ibu dan pelbagai kaedah melakukannya. Untuk bahagian akhir ini, kami akan membincangkan cara untuk menyimpan susu ibu yang anda hasilkan dan menyediakannya sebelum diberikan kepada bayi anda. Teknik penyimpanan dan penyediaan yang betul adalah penting untuk mengekalkan kebersihan dan khasiat pemakanan susu ibu.
Bekas Simpanan

Secara asasnya, ada dua pilihan untuk anda menyimpan susu ibu:
Bekas sisi keras. Bekas yang biasanya diperbuat daripada plastik keras atau gelas ini adalah bagus untuk tujuan penyimpanan jangka panjang. Pilih yang mempunyai penutup kedap udara.
Beg plastic (direka khas untuk penyimpanan susu ibu). Bekas ini hanya boleh digunakan untuk penyimpanan jangka pendek kerana ia mudah tumpah, bocor atau tercemar berbanding bekas sisi keras. Ada juga komponen susu ibu yang mungkin diserap plastik.
Basuh tangan anda sebelum memerah susu.
  • Simpan dalam jumlah kecil (2-4 auns/60-120 mL) untuk mengelakkan pembaziran.
  • Pertimbangkan untuk menyimpan jumlah yang lebih kecil (1-2 auns/30-60ml) untuk situasi di luar jangkaan. Sedikit susu ibu boleh menenangkan bayi sebelum disusukan ibunya sendiri.
  • Anda boleh mencampurkan susu ibu yang dihasilkan dalam sehari untuk mendapatkan jumlah yang diingini dalam bekas simpanan. Sejukkan susu ibu yang baru dihasilkan sekurangkurangnya 1 jam dalam bahagian utama peti sejuk atau dalam bekas penyejuk dengan ais atau pek ais, kemudian tambahkan dengan susu ibu yang dihasilkan pada hari yang sama dan telah disejukkan.
  • Jangan campurkan susu ibu yang suam dengan susu beku kerana ia akan mencairkan sedikit susu yang telah beku. Elakkan juga dari mencampur susu dari hari berlainan.
  • Tinggalkan sedikit ruang di bahagian atas bekas simpanan kerana susu ibu mengembang ketika membeku.
  • Kalau boleh, tandakan bekas simpanan dengan tarikhnya menggunakan label dan dakwat kalis air.
Tip Tambahan!
Tip #1: Susu ibu akan “terbahagi” ketika penyimpanan. Bahagian atas susu ibu (krim) akan kelihatan lebih pekat dan putih. Goncang bekas simpanan dengan lembut untuk mencampurkan bahagian yang terpisah TETAPI elakkan mengoncang dengan kuat.
Tip #2: Bergantung kepada diet ibu, warna susu ibu mungkin berlainan setiap hari (kebiruan, kekuningan atau keperangan). Susu ibu yang beku juga mungkin mempunyai bau yang berbeza dari yang segar dan tiada sebab untuk tidak menggunakannya selagi bayi mahu meminumnya.
Penyediaan untuk Bayi: Mencair atau Memanas Susu Ibu
  • Gunakan susu yang paling lama dahulu.
  • Bayi mungkin minum susu yang sejuk, pada suhu bilik atau yang dipanaskan.
  • Cairkan susu dengan menyimpan di dalam peti sejuk pada malam sebelumnya sebelum menggunakan atau panaskan dengan meletakkan bekas simpanan di bawah air pili yang suam atau di dalam mangkuk. Jangan biarkan air di dalam mangkuk atau dari pili menyentuh bahagian mulut bekas simpanan.
  • Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk selama 24 jam setelah dicairkan.
  • JANGAN guna ketuhar gelombang mikro atau haba terus ke atas susu ibu. Ini mungkin menimbulkan ketulan susu dan memusnahkan antibodi yang terkandung di dalamnya.
  • Goncang sedikit bekas simpanan untuk mencampurkan krim semula dan menyebarkan haba dengan rata. Jangan kacau susu ibu.
  • Baki susu dalam botol selepas diberikan kepada bayi perlu dibuang dan tidak boleh digunakan lagi.
  • Seperti makanan lain, jangan beku kembali susu ibu yang cair sepenuhnya atau separa cair.

By YB Shehan

YB Shehan merupakan penulis blog Mommy's Diary of Life (www.shehanzstudio.com). Merupakan bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan kini bergelar blogger sepenuh masa.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!