Oleh Dr Balkees Abdul Majeed, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi
Dalam penerbitan lalu, kami menerangkan bagaimana ibu baru boleh menyiapkan diri mereka untuk melaksanakan tugas penting menyusukan bayi, SEBELUM kembali bertugas sepenuh masa. Kali ini, kami akan memberi panduan, langkah demi langkah, cara meneruskan peranan penting itu apabila kembali bekerja. Ramai menyangka tugas memerah susu badan adalah rumit atau remeh, tetapi dengan motivasi dan teknik yang betul, ia mudah dilakukan.
Mudah tetapi Berkesan
Ikut petua ini untuk membantu menyenangkan pengalaman anda:
- Cari tempat yang selesa, bersih dan terlindung untuk memerah susu badan.
- Perah susu sekerap anda menyusukan bayi anda pada waktu siang, untuk mengekalkan tahap pengeluaran susu.
- Susukan bayi anda apabila anda bersamanya (sebelum dan selepas waktu kerja), termasuk pada hari anda tidak bekerja, untuk memastikan bekalan susu secara konsisten.
- Mula-mula, susu mungkin meleleh keluar. Lapik coli dapat membantu menyerap lelehan dan jika boleh, pakai baju bercorak.
- Makan makanan berkhasiat, minum apabila rasa dahaga dan dapatkan rehat sebanyak yang mungkin.
- Buat permulaan, walaupun hanya sedikit yang dapat diperah dan diberikan kepada si manja anda, ia lebih baik daripada tidak memberi si manja susu badan langsung. Berbangga dengan usaha anda!
Bagaimana untuk Memerah Susu
Dua cara untuk memerah susu badan adalah dengan tangan atau pam (menggunakan tangan, kuasa elektrik atau bateri). Tidak kira apa cara yang digunakan, adalah penting untuk mengambil langkah berikut sebelum anda mula:
- Jaga kebersihan. Basuh tangan hingga bersih, basuh semua bekas, botol dan peralatan pam dengan air panas bersabun.
- Bertenang. Perasaan tegang atau cemas boleh menghalang pengeluaran susu. Cuba dengar muzik, lihat gambar si manja, atau bayangkan anda menyusukan bayi anda.
- Urut. Urut payu dara perlahan-lahan, ke arah areola (bahagian keliling puting), selama 1-2 minit, gentel puting dengan jari telunjuk dan ibu jari. Ini akan menggalakkan pengeluaran hormon yang merangsang payu dara untuk mengeluarkan susu.
Memerah dengan Tangan
Letakkan ibu jari (di atas puting) dan jari telunjuk dan jari hantu (di bawah puting) kira-kira 1” hingga 1.5” dari puting, tidak semestinya di bahagian luar tepi areola. Gunakan ukuran ini sebagai panduan, kerana saiz payu dara dan areola berbeza dengan setiap wanita. Pastikan kedudukan tangan membentuk huruf “C” dan lapik jari pada kedudukan 6 dan 12 permukaan jam sejajar dengan puting. Pastikan kedudukan jari yang betul supaya takungan susu terletak di bawahnya. Ia boleh dirasai seperti kekacang kecil di bawah kulit.
Menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit bahagian ini perlahan-lahan dan tidak sepatutnya menyakitkan. Anda mungkin mengambil masa satu atau dua minit sebelum dapat melihat titisan susu keluar. Jadi, jangan cepat putus asa. Sebaik sahaja susu mula mengalir keluar, anda akan dapat membiasakan diri dengan ritma semulajadinya.
Lepaskan tekanan dan kemudian ulangi picitan secara terus menerus, untuk membina ritma. Elakkan jari daripada menggelongsor atas kulit. Susu seharusnya mula mengalir keluar. Jika tidak, cuba gerakkan jari-jari anda sedikit ke arah puting atau jauh dari puting. Atau cuba urut payu dara secara perlahan-lahan.
Apabila pengaliran keluar susu semakin perlahan, perah payu dara sebelah lagi. Teruskan mengilir perahan payu dara sehingga pengaliran susu terhenti atau titisan menjadi tersangat perlahan.
Memerah dengan Pam
Kebanyakan pam bertindak menggunakan prinsip sama, iaitu mencipta vakum apabila serombong ditekapkan ke atas areola. Dalam kebanyakan model, kekuatan sedutan boleh diubahsuai. Bagaimanapun, sedutan lebih kuat tidak semestinya yang terbaik kerana ia boleh merosakkan puting. Jadi, cari kekuatan sedutan paling rendah tetapi berkesan untuk disesuaikan dengan keperluan anda. Biasanya, susu tidak akan mengalir keluar dengan serta-merta. Pastikan serombong pam tidak terlalu kecil apabila puting dimasukkan ke dalam bahagian serombong yang sempit, kerana ini boleh merosakkan puting.
Tangan atau Pam?
Dengan pilihan untuk memerah susu badan dengan tangan atau pam, anda boleh melakukan kedua-dua cara. Pam ‘menghisap’ payu dara sedangkan tangan ibarat ‘menyusu’ daripada payu dara. Kombinasi kedua-duanya adalah sama seperti anda menyusukan si manja.
Untuk bahagian terakhir artikel, cara untuk menyimpan perahan susu dan menyediakan untuk bayi akan diterbitkan dalam isu akan datang.