Pengalaman Naik Star Voyager Cruise (Part 1) — Dah lama sebenarnya aku teringin nak cuba naik cruise. Setiap kali nampak video orang duduk dekat balcony sambil menikmati pemandangan laut atau video buffet atas cruise dekat TikTok, mesti terfikir..
“Best juga kalau dapat merasa sekali.”
Tak sangka pula impian kecil tu datang dengan cara yang paling tak dijangka.

Aku diumumkan sebagai salah seorang pemenang Lucky Draw Tripfez masa aku ke Majlis Berbuka Puasa Tripfez 2026, dan hadiahnya ialah trip 3 Hari 2 Malam menaiki Star Voyager Cruise dengan laluan Port Klang – Phuket – Port Klang.



Memang terus excited!
Dalam kepala masa tu dah fikir macam-macam.
“Mabuk laut tak nanti?”
“Makanan halal senang ke?”
“Cabin dia selesa tak?”
“Apa yang sebenarnya perlu prepare sebelum naik cruise?”
Disebabkan masa aku mencari maklumat dulu tak banyak perkongsian lengkap sangat, aku rasa elok juga aku tulis pengalaman sendiri. Bukanlah review yang terlalu teknikal, tapi lebih kepada pengalaman sebenar sepanjang tiga hari dua malam atas Star Voyager. Mana tahu boleh membantu korang yang tengah plan nak cuba naik cruise ni nanti.
By the way, terima kasih, Tripfez untuk pengalaman hebat ini. Aku memang rekemen sangat korang guna servis dorang, sangat membantu dari booking sampai habis trip. Especially Puan Norra.
PERCUTIAN RAYA HAJI ATAS STAR VOYAGER CRUISE
Trip aku dari 27 hingga 29 Mei 2026, dan kebetulan hari pertama perjalanan jatuh pada Hari Raya Aidiladha.
Memang lain daripada raya yang biasa. Aku tak dapat balik kampung tahun ni, hanya suami dan anak-anak yang akan balik. Oh ya, aku memang pergi seorang je kali ni.
Kalau selalunya pagi raya sibuk beraya dengan keluarga, kali ni sibuk mengemas beg dan bersiap untuk ke Port Klang Cruise Terminal.
Boleh dikatakan inilah pertama kali aku menyambut Hari Raya Haji dengan cara yang sedikit luar daripada kebiasaan.
Dan sejujurnya, aku suka pengalaman tu.
Mungkin bukan raya yang biasa aku lalui setiap tahun, tetapi ia tetap menjadi satu kenangan yang susah nak dilupakan.
p/s : Terima kasih suami & anak-anak yang bagi Mommy peluang me time kali ini.

CHECKLIST SEBELUM NAIK STAR VOYAGER CRUISE (JANGAN LUPA BENDA NI!)
Sebelum cerita pasal pengalaman atas kapal, aku rasa lebih baik aku kongsi dulu beberapa perkara yang korang perlu sediakan. Benda-benda ni nampak kecil, tapi sebenarnya sangat membantu dan boleh melancarkan urusan pada hari perjalanan.
- Passport
- Booking Confirmation
- TDAC
- Prohibited Items
Passport
Pastikan passport masih sah sekurang-kurangnya enam bulan.
Walaupun cruise bertolak dari Port Klang, perjalanan ni akan singgah di Phuket, Thailand. Jadi passport memang wajib dibawa.
Kos : RM200
Booking Confirmation
Jangan lupa simpan muka surat pertama booking confirmation.
Tak perlu print pun tak apa, sebab aku sendiri cuma simpan soft copy dalam telefon.
Dekat muka surat pertama tu ada nombor cabin. Masa nak drop luggage nanti, staf akan rujuk nombor cabin berdasarkan booking confirmation tersebut, dan akan lekatkan tag label di luggage.
Thailand Digital Arrival Card (TDAC)
Kalau itinerary cruise korang turut singgah di Thailand, jangan lupa isi Thailand Digital Arrival Card (TDAC) 3 hari sebelum hari perjalanan.
Lagi senang buat siap-siap dari rumah daripada nak kelam-kabut bila dah sampai terminal.
Barang Terlarang
Sebelum packing, semak juga senarai barang yang tak dibenarkan dibawa naik ke atas kapal.
Antaranya seperti iron, extension plug, hari dryer, pisau serta barang-barang yang mudah terbakar atau berbahaya.
Tips : Memandangkan iron tidak dibenarkan, korang ironlah sesiap semua baju dan tudung. Aku gunakan hair dryer yang disediakan (Balcony Stateroom) untuk kurangkan garisan lipatan baju & tudung.
Sebaiknya semak senarai terkini di laman rasmi Star Voyager kerana polisi boleh berubah dari semasa ke semasa.

PENGALAMAN CHECK IN STAR VOYAGER CRUISE DI PORT KLANG CRUISE TERMINAL
Waktu check-in cruise aku bermula pada 2.30 petang.
Aku sampai sekitar tengah hari. Sejujurnya masa tu memang dah agak penat juga sebab cuaca boleh tahan panas. Tapi bila fikir balik, datang awal memang keputusan yang tepat.
Sebabnya?
Aku berjaya dapat Boarding Group pertama.

Jadi proses nak naik ke dalam kapal memang lebih cepat. Tak perlu tunggu lama dan tak perlu bersesak dengan penumpang lain.
Sementara menunggu giliran, sempat juga kami ambil beberapa keping gambar di sekitar terminal. Kalau korang jenis suka ambil gambar tanpa terlalu ramai orang di belakang, memang aku cadangkan datang awal.
Bila nombor boarding dipanggil, masing-masing terus tak sabar nak melangkah masuk ke dalam Star Voyager.
PENYERAHAN PASSPORT SEBELUM NAIK KE CRUISE
Sebelum dibenarkan naik ke atas kapal, kami perlu melalui pemeriksaan imigresen terlebih dahulu seperti biasa.
Lepas selesai pemeriksaan passport, passport asal akan diserahkan di kaunter check-in Star Voyager.
Mula-mula memang aku tertanya-tanya juga.
“Eh… kenapa kena serah passport?”
Rupa-rupanya ini memang prosedur biasa untuk pelayaran antarabangsa. Pihak Star Voyager akan menyimpan passport sepanjang perjalanan bagi memudahkan urusan imigresen secara berkumpulan di setiap destinasi yang disinggahi.
Jadi tak perlu panik kalau passport diambil oleh pihak cruise.
Sebagai pengganti, setiap penumpang akan diberikan Cruise Card.

Kad ni sangat penting kerana ia berfungsi sebagai:
- Kad akses untuk masuk ke cabin.
- Kad pengenalan diri sepanjang berada di atas kapal.
- Kad untuk membuat pembelian di atas kapal.
- Pengganti passport ketika di Phuket nanti
Pendek kata, memang ke mana-mana pun kena bawa Cruise Card ni. Aku sentiasa memakai lanyard untuk kemudahan aku. Risau juga kalau hilang.
Passport asal pula akan dipulangkan semula sebelum tamat pelayaran, iaitu sehari atau beberapa jam sebelum kapal tiba di Port Klang.
Bagi aku, proses ni memang tersusun dan semuanya diterangkan dengan jelas oleh pihak kru, jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan.
FIRST IMPRESSION NAIK STAR VOYAGER CRUISE
Walaupun sebelum ni dah banyak kali tengok gambar dan video Star Voyager dekat media sosial, bila berdiri depan kapal sendiri memang terus keluar ayat..
“Besarnya!” 😂
Video aku : First impression naik kapal
Serius cakap, dalam gambar memang nampak besar. Tapi bila tengok depan mata, baru sedar betapa gergasinya kapal ni.

Masa tu memang rasa tak sabar nak masuk dan tengok macam mana pula keadaan di dalam.
Sebaik melangkah masuk ke dalam kapal, suasananya terus berubah. Masa ni baru aku tahu yang setiap tingkat dipanggil Deck. Jadi lobi berada di Deck 5, di mana aku beli internet di sini.

Lobi memang nampak luas, terang dan moden. Kru pula sentiasa menyambut penumpang dengan senyuman sambil menunjukkan arah ke cabin masing-masing.
Walaupun masa tu ramai penumpang baru naik, semuanya nampak teratur. Tak adalah rasa kelam-kabut macam yang aku bayangkan sebelum ni.
Memandangkan cruise aku back-to-back, cabin aku masa tu belum siap dikemas sepenuhnya. Jadi aku ambil peluang untuk berjalan sekitar cruise dahulu.
REVIEW BALCONY STATEROOM STAR VOYAGER — BERBALOI KE?
Sepanjang trip ni, aku menginap di Balcony Stateroom. Bila pintu cabin dibuka, first impression aku cuma satu.
“Eh.. selesa juga.”


Dari segi saiz, memang taklah sebesar bilik hotel. Tapi bagi aku, susun atur dia sangat praktikal. Ada katil yang selesa, sofa kecil yang boleh diconvert menjadi katil, TV, almari, meja dan bilik air yang lengkap.
Tak rasa sempit pun even untuk 4 orang. Bayangkan sekarang aku duduk sorang je. Heaven!
Bahagian yang paling aku nantikan mestilah balcony. Rezeki aku dapat Balcony Stateroom. Syukur sangat.

Aku memang dah bayangkan nak duduk dekat balcony sambil menikmati pemandangan laut. Dan bila akhirnya dapat berdiri dekat situ, memang rasa tenang sangat.
Tak ada bangunan. Tak ada bunyi hon.
Tak ada kesesakan jalan raya. Yang ada cuma angin laut dan bunyi ombak.
Kalau korang jenis suka menikmati sunrise atau sekadar nak berehat sambil tengok laut, aku memang rasa Balcony Stateroom ni berbaloi.
Ramai juga yang tanya pasal plug dalam bilik.
Tak perlu risau.
Plug dalam cabin menggunakan plug yang sama seperti di Malaysia. Jadi charger telefon, camera atau power bank semuanya boleh terus digunakan tanpa perlu bawa travel adaptor.
LEPAS BOARDING, INI YANG AKU BUAT DULU
Sebaik sahaja masuk ke dalam cabin dan letak barang, aku terus sambungkan telefon kepada rangkaian kapal.
Kalau korang bercadang nak gunakan internet sepanjang perjalanan, boleh terus beli pakej WiFi sebaik sahaja naik kapal. Harga Wifi boleh tahan juga la untuk 2 malam. Bayaran dalam SGD. Aku ambil Premium 1 Device.

Dan seterusnya korang boleh buka portal — https://theconcierge.scstarvoyager.com
Sepanjang berada di atas Star Voyager, inilah portal yang paling kerap aku buka.
Semua jadual aktiviti harian, waktu restoran dibuka, theatre show, announcement dan pelbagai maklumat penting memang dikemaskini di sini.
Jadi sebelum keluar dari cabin setiap pagi, aku memang akan semak dulu aktiviti apa yang berlangsung pada hari tersebut.
Memang memudahkan.
DINNER PERTAMA DI THE LIDO – PILIHAN BUFFET HALAL DI ATAS STAR VOYAGER
Lebih kurang jam 8 malam, tibalah masa untuk dinner pertama kami. Daripada tiga restoran yang termasuk dalam pakej, aku lebih memilih The Lido.
Sebagai Muslim, aku rasa lebih selesa makan di sini kerana pilihan makanannya lebih halal friendly.
Masuk je ke dalam restoran, terus keluar ayat..
“Wah, besar betul!”
Memandangkan aku solo, meja yang diberikan memang kecil la. Untuk 2 orang. Fuh, terasa awkward di situ. Kiri kanan pula ada keluarga. Huhu.

Pilihan makanan memang banyak. Daripada masakan Asia, Western, salad, dessert sehinggalah pelbagai jenis minuman.
Aku ni bukanlah sejenis makan banyak. Tapi bila tengok banyak sangat pilihan, memang rambang mata dibuatnya. Tapi aku still tak lalu nak makan sebab mungkin penat, rindu famili dan janggal berseorangan.
MALAM PERTAMA DI ATAS STAR VOYAGER – LIVE CONCERT DENGAN ANGIN YANG KUAT
Lepas selesai dinner, aku ke ruang tengah cruise (sama deck dengan restoran). Kebetulan malam tu ada live concert.

Angin laut memang nyaman, muzik dimainkan secara live dan kapal pula perlahan-lahan meninggalkan Port Klang.
Aku cuma duduk menikmati suasana sambil melihat lautan yang gelap terbentang di hadapan. Riuh rendah bunyi gelak tawa kanak-kanak dan orang dewasa yang sedang mandi manda di kolam.
Masa tu baru betul-betul terasa..
“Ya.. akhirnya aku dapat juga merasa bercuti atas cruise. Cuma aku harap, akan ada peluang lain kali untuk bawa family aku’
Malam pertama ditutup dengan cukup tenang.
Dan dalam kepala aku masa tu dah tak sabar nak tunggu hari esok. Star Voyager akan berlabuh di Phuket, dan masih banyak lagi bahagian kapal yang belum sempat aku terokai.
Kalau korang nak tengok lebih banyak gambar dan video sepanjang trip ni, jangan lupa singgah ke Instagram dan TikTok aku di @myapilot. Banyak lagi momen yang tak sempat aku kongsikan dalam artikel ni. ❤️
Bersambung..

