Fri. Jan 17th, 2025

SIAPA SRIKANDI ‘ZINNIRAH’ DALAM LAGU YANG DIBERI NAFAS BARU OLEH UNIC?

ZINNIRAH 2018 - UNIC

Mommy memang tak ingat langsung lagu UNIC yang bertajuk Zinnirah ni, sehinggalah lagu ini dinyanyikan semula oleh Fitri Haris, bekas ahli UNIC ketika Final Gema Gegar Vaganza 2018 baru-baru ini. Tahniah juga buat Fitri Haris kerana menjadi juara. Adapun lagu ini sebenarnya kini menjadi lagu yang diberi nafas baru dalam album kumpulan UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul Razi, Bazli dan Najdi.

Sempena bulan puasa ini, elok kita ‘hidangkan’ mata dan telinga dengan lagu berunsur dakwah begini kan? Bukan selalu kita nak baca kisah-kisah begini. Jadi, Mommy terpanggil untuk kongsi juga dengan pembaca Mommy. Serius, teringin nak tahu kisah Srikandi bernama Zinnirah ini.

SIAPA SRIKANDI BERNAMA ZINNIRAH INI?

Kisah Zinnirah: Zinnirah menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah.

Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rome. Kehidupan keluarganya sangat miskin dan dalam keadaan serba kekurangan. Ketika berlaku satu peperangan besar di Rome, Zinnirah terpisah daripada keluarganya lalu menjadi tawanan perang. Sejak itu dia dijual sebagai hamba dan sering bertukar tangan. Sepanjang menjadi hamba abdi, Zinnirah dilayan dengan kasar dan adakalanya diperlakukan seperti binatang oleh tuannya.

Suatu hari Zinnirah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib dengannya. Perkenalan itu akhirnya membawa Nur Islam dalam diri Zinnirah kerana hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah. Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam. Namun, dia terpaksa melakukan ibadat secara rahsia kerana tuannya memusuhi Islam.

Nasibnya lebih malang apabila dia bertukar tangan kepada bangsawan Quraisy yang sangat berpengaruh masa itu, Umar Al-Khattab. Ketika itu, Umar belum memeluk Islam dan juga tidak mengetahui keIslaman Zinnirah. Umar yang sangat memusuhi Rasulullah terkenal dengan bengis dan kasarnya sehingga digeruni, baik lawan maupun kawan.

Akhirnya, Umar mengetahui mengenai keIslaman Zinnirah apabila suatu hari dia mendengar gadis itu membaca al-Quran. Ini menimbulkan kemarahan Umar yang mahu menghukumnya dengan siksaan berat. “Tahukah kamu apa hukuman yang layak untukmu?” Tanya Umar keras dengan wajah bak singa sambil mengheret Zinnirah ke tengah padang pasir.

Di situ, Umar mengikat kaki dan tangan Zinnirah dan menjemurnya di tengah panas terik. “Inilah caranya supaya kamu insaf,” katanya lalu meninggalkan Zinnirah di situ. Walaupun mukanya perit dipanah matahari dan kehausan, Zinnirah tabah menghadapi penderitaan itu sambil mulutnya tidak berhenti membisikkan Allah.. Allah…

Apabila melihat hamba abdinya belum insaf, Umar menyeretnya ke pinggir kota dan mengikatnya di tiang. Dia menyuruh orang mengorek mata Zinnirah sehingga buta (ada juga sumber menceritakan dicucuk dengan besi panas). “Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza

Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku. Penderitaannya itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq yang membeli Zinnirah dengan harga tinggi. Sejak itu, dia tekun beribadat dan dengan kurnia Allah, kedua-dua matanya yang buta itu bercahaya semula. Peristiwa yang mengagumkan ini menyebabkan ramai orang Quraisy memeluk Islam.

LIRIK ZINNIRAH 2018 – UNIC

ZINNIRAH 2018 - UNIC - 1

Hadirmu bersama kuntum senyuman
Walau dirimu hamba tawanan
Kau jadi impian firdausi
Kau jadi pingitan hiasan duniawi
Walau tak pernah melihatmu
Zinnirah

Matamu jadi taruhan
Gantian lara nilaian iman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan derita ini
Terlindung sudah indahnya maya
Mata hatimu tetap menyala

C/O :
Oh Zinnirah
Kau umpama bintang di malam hari
Menerangi alam dan ditemani cahaya purnama
Selaut kasih kau hamparkan untuk Ilahi
Tiada sempadan dan tiada bertepi

Matamu jadi taruhan
Gantian lara nilaian iman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan derita ini
Terlindung sudah indahnya maya
Mata hatimu tetap menyala

Oh Zinnirah
Kau umpama bintang di malam hari
Menerangi alam maya dan diteman purnama
Cinta murni yang kau dambakan untuk Ilahi
Tiada sempadan dan tiada bertepi

Oh Zinnirah
Kau serikandi sunyi bersendiri
Di medan ngeri dan bersuara sepenuh berani
Kasih suci yang kau hulurkan untuk Ilahi
Menagih korban kasih abadi

VIDEO KLIP ZINNIRAH UNIC 2018

Tahniah UNIC. Moga terus maju menyebarkan dakwah dan ilmu sebegini. Sekurang-kurangnya orang macam Mommy dah dapat 1 ilmu hari ini dengan mengetahui siapa Srikandi Islam yang bernama Zinnirah ini. Syahdu. Serius!

By YB Shehan

YB Shehan merupakan penulis blog Mommy's Diary of Life (www.shehanzstudio.com). Merupakan bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan kini bergelar blogger sepenuh masa.

Related Post

2 thoughts on “SIAPA SRIKANDI ‘ZINNIRAH’ DALAM LAGU YANG DIBERI NAFAS BARU OLEH UNIC?”
  1. terimakasih she.Lau tidak diceritakan,memanglah tatau ina ni.Rupanya ada kisah di sebaliknya yer.. sedih la pulak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!