23/04/2024 9:21 AM
Sebagai orang dewasa, kita biasanya mendapat selsema atau demam mungkin tiga hingga empat kali dalam setahun. Kanak-kanak pula tidak begitu bernasib baik, lebih-lebih lagi kanak-kanak dalam usia bertatih dan prasekolah yang dihantar ke pusat penjagaan siang hari.
Demam atau selsema biasa boleh menyerang kanak-kanak kecil secara purata tiga hingga 12 kali setahun. Dan ini tidak termasuk penyakit lain yang boleh dihidapi oleh si manja anda, seperti cirit-birit dan sebagainya.
Jangkitan penyakit sering menyebabkan si manja anda hilang selera makan, kurang makan daripada biasa, atau ada kalanya enggan makan. Namun, si manja tetap perlu makan kerana pemakanan yang baik sangat penting untuk membolehkannya sembuh dengan baik dan lebih cepat.
Mengapa makanan yang sihat dan berkhasiat penting?
Jangkitan bukan sahaja mengurangkan selera makan, tetapi juga boleh menjejaskan keupayaan sistem penghadaman untuk menyerap nutrien. Sesetengah kanak-kanak boleh mengalami kekurangan zat makanan yang teruk hingga menyebabkan berat badan mereka turun, lebih-lebih lagi jika mereka tidak makan dengan secukupnya. Ini adalah kerana apabila kanak-kanak tidak mendapat nutrien secukupnya, badan mereka akan menggunakan simpanan lemak dan otot mereka sendiri untuk menghasilkan tenaga.
Kekurangan zat makanan yang teruk boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk, kerana sistem imun si manja akan menjadi kurang cekap, dan tidak dapat melawan jangkitan dengan berkesan. Kanak-kanak yang sakit juga memerlukan lebih banyak air, lebih-lebih lagi air kosong yang bersih, kerana mereka kehilangan lebih banyak air daripada biasa. Di samping itu, mereka sepatutnya terus mengambil makanan yang sihat dan berkhasiat, terutama sekali semasa sembuh daripada sakit.
Apakah makanan yang patut anda sediakan untuk si manja?
Terdapat makanan dan minuman tertentu yang mungkin tidak wajar diberikan kepada si manja yang sakit, bergantung pada penyakitnya. Namun, si manja tetap perlu mengambil makanan yang berkhasiat. Berikut dicadangkan jenis makanan yang boleh anda berikan kepada si manja yang sakit:
Jika si manja anda demam
Kanak-kanak yang demam selalunya kurang selera makan atau tidak mahu makan. Cuba pujuk si manja mengambil sedikit makanan yang berkalori tinggi, kerana anak anda pastinya enggan makan banyak. Anda juga boleh berikan makanan lembut seperti bijirin oat, bubur ayam atau sup, dan kentang lenyek. Beri si manja minum sebanyak mungkin, terutama sekali air kosong, atau jus, untuk mengelakkan penyahhidratan yang mungkin berlaku apabila suhu badan naik.
Jika si manja anda selsema
Kanak-kanak yang selsema biasanya tertarik dengan makanan yang hangat dan bersup, dan juga makanan lembut dan mudah dimakan. Ini termasuk sup atau bubur ayam, telur goreng hancur, kentang lenyek, lempeng dan bijirin oat. Makanan hangat juga boleh bertindak sebagai pengewap, untuk melegakan hidung yang tersumbat.
Jika si manja anda cirit-birit
Cirit-birit biasanya boleh dirawat di rumah, selalunya dengan mencegah penyahhidratan atau dehidrasi daripada berlaku. Cuba jangan beri sebarang ubat, melainkan ditentukan oleh doktor si manja anda. Galakkan si manja minum sebanyak mungkin, termasuk air, sup dan minuman larutan garam. Makanan yang mudah dihadam, seperti bijirin oat atau bubur, rebusan atau sup sayuran, juga patut diberikan.
[INGAT B.R.A.T ketika anak anda cirit birit – Lihat SINI]

Beri si manja makan dan minum sebanyak mungkin!

Memang sukar untuk memujuk si manja supaya makan apabila mereka tidak sedap badan. Cuba berikan sedikit makanan secara lebih kerap, iaitu setiap 1-2 jam, bukan sajian penuh 2-3 kali sehari. Galakkan si manja makan sebanyak mungkin, tetapi jangan paksa makan kerana paksaan boleh menyebabkan si manja tercekik atau muntah.Makanan yang agak manis boleh membuka selera si manja, lebih-lebih lagi jika anak anda muntah-muntah atau merasa loya. Anda boleh menghidangkan pisang lenyek atau ais krim, ataupun tau foo fah untuk membantu menambah selera makan si manja anda. Jangan lupa untuk memberi si manja minum sebanyak mungkin, termasuk air kosong, jus buah-buahan segar, air kelapa dan juga sup.Apabila si manja anda mula sembuh, seleranya juga akan pulih.
Pelbagaikan jenis makanan yang anda berikan kepadanya, kerana makanan yang berlainan membekalkan nutrien yang berlainan. Si manja juga perlu makan secara lebih kerap kerana semasa pemulihan anak anda perlukan lebih banyak tenaga dan nutrien daripada biasa. Pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat akan membantu si manja anda memulihkan tenaga dan seleranya dengan lebih cepat dan sembuh dengan lebih cepat!
Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!