Mon. Dec 15th, 2025
JELAJAH HULU LANGAT

Baru-baru ini, Mommy berpeluang menyertai Lawatan Kelestarian Alam dan Eko Pelancongan, yang turut digabungkan dengan perjumpaan alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bersama Tan Sri Abdul Halim Ali, Presiden Persatuan Alumni PTD serta hampir 60 alumni hebat lain.

Lokasi pilihan pula memang cukup menarik – Restoran Terra Pong, Hulu Langat.

Yang buat Mommy lebih teruja, sebab bukan sekadar makan-makan biasa. Ada banyak momen dan pengalaman berharga yang Mommy nak kongsi dengan korang semua.

MENJELAJAH GEOPARK HULU LANGAT

Konvoi 11 kereta menuju destinasi pertama kami iaitu ke Air Terjun Lopoh, salah satu permata semula jadi dalam Geopark Hulu Langat. Air Terjun Lopoh ni memang popular dalam kalangan pendaki & pelancong tempatan. Mommy sendiri pernah berkhemah kat sini tiga kali, semata-mata nak mandi-manda.

Gambar sekitar air terjun Lopoh

Suasana kebun tu memang nyaman, hijau, rimbun, ada kolam ikan, private house, tapak camping, dan laluan sungai yang menyejukkan mata. Mommy rasa macam hilang sekejap daripada hiruk pikuk kota.

Walaupun tak terus sampai ke air terjun, pengalaman menjelajah kebun tu dah cukup segarkan jiwa.

ECO RESORT

Dari kebun, konvoi kami bergerak ke Eco Resort. Eco Resort ini dijangka bakal beroperasi untuk fasa 1 pada tahun 2026.

Ucapan pertama disampaikan oleh Tan Sri Ahmad Fuad Ismail. Beliau tekankan tentang potensi besar Hulu Langat dalam pembangunan ekopelancongan yang mampan. Ucapan kedua oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, mantan Ketua Setiausaha Negara (1996–2001), yang kini merupakan Presiden Persatuan Alumni PTD. Beliau mengingatkan pentingnya keseimbangan antara pembangunan, masyarakat dan alam sekitar.

Lepas sesi ucapan, kami dijamu dengan jamuan ringan sambil beramah mesra. Mommy suka suasana santai tu, boleh berbual, kongsi pandangan dan rasa lebih dekat dengan alumni lain.

RESTORAN TERRA PONG – SYURGA MAKANAN

Inilah part yang Mommy paling excited, lunch di Restoran Terra Pong Hulu Langat.

Restoran ni berdiri megah atas tasik, boleh muat 600 orang dalam satu masa, dan keseluruhannya diperbuat daripada kayu Restoran ini mula beroperasi sejak 2017. Memang masterpiece!

Hidangan pun bukan biasa-biasa:

  • Tomyam Goong pedas berapi, hirup panas-panas memang lega tekak.
  • Siakap Tiga Rasa, lengkap manis, masam, pedas.
  • Ikan Stim, lembut dengan aroma halia & limau yang harum.

Mommy rasa macam makan kat Thailand terus! Semua orang enjoy betul lauk-lauk ni.

Selain makan, ada juga aktiviti pelepasan anak ikan ke tasik restoran. Mommy suka simboliknya, bukan sekadar aktiviti, tapi reminder tentang tanggungjawab kita pelihara ekosistem alam.

VILLA TERRA PONG

Selain restoran, Mommy sempat juga melawat ke Villa Terrapong yang ada di kawasan ni. Ada satu villa besar dengan enam buah bilik. Villa ni boleh disewa untuk pelbagai aktiviti seperti family gathering, retreat bersama kawan-kawan, atau acara kecil-kecilan.

Bayangkan tidur malam dengan bunyi air yang tenang di sekeliling, dan bangun pagi dengan udara segar Hulu Langat. Mommy terus terbayang nak plan trip keluarga kat sini.

AKSES MUDAH KE HULU LANGAT

Kalau dulu orang rasa Hulu Langat jauh, sekarang hanya 45 minit dari ibu kota. Dengan adanya Highway EKVE & SUKE, perjalanan jadi cepat & lancar. Memang senang nak plan short trip tanpa pening kepala.

HULU LANGAT – KHAZANAH ALAM & EKO PELANCONGAN

Lawatan ni bukti bahawa Hulu Langat ada potensi besar sebagai destinasi ekopelancongan. Dengan air terjun, hutan tropika dan dusun buah yang subur sepanjang tahun, daerah ini mampu tarik pelancong tempatan & antarabangsa.

Kehadiran alumni PTD ke sini bukan sekadar reunion, tapi tanda bagaimana komuniti, pihak swasta & kerajaan boleh berganding bahu untuk promosi ekopelancongan dan pelihara alam sekitar.

PENUTUP

Sebelum majlis bersurai, Tan Sri Halim menitipkan pesanan agar Hulu Langat terus dijaga sebagai khazanah negara untuk generasi akan datang.

Bagi Mommy sendiri, lawatan ni penuh makna. Dari konvoi ke kebun, makanan sedap, sampailah aktiviti simbolik lepaskan anak ikan. Semua tu tinggalkan kenangan indah.

Mommy rasa Hulu Langat ni memang hidden gem Selangor. Bukan sekadar tempat makan, tapi destinasi lengkap dengan alam semula jadi, sejarah, makanan, dan penginapan unik.

Kalau korang tengah cari tempat menarik di Hulu Langat untuk hujung minggu, atau nak buat gathering family & kawan-kawan, Mommy memang rekomen datang ke sini.

By YB Shehan

YB Shehan merupakan penulis blog Mommy's Diary of Life (www.shehanzstudio.com). Merupakan bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan kini bergelar blogger sepenuh masa.

error: Content is protected !!