Sat. Dec 7th, 2024
Pelajari tentang jangkitan tekak yang lazim menjangkiti kanak-kanak dan apa yang anda boleh lakukan untuk membantu mengatasinya.
[Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik]
Jangkitan pada tekak adalah penyakit yang lazim berlaku di kalangan kanak-kanak dan biasanya ia bermula dengan sakit tekak. Kebanyakan sakit tekak adalah disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria dan boleh dicetuskan oleh perengsa seperti asap rokok, debu, wasap atau batuk yang teruk.
Lazimnya, sakit tekak adalah tidak serius and akan hilang dengan sendirinya. Sakit tekak biasanya akan sembuh tanpa rawatan dan mengambil masa beberapa hari sehingga satu minggu untuk hilang.
jangkitan-tekak
positive parenting

Rencana ini akan membantu anda untuk mengenalpasti pelbagai jenis jangkitan tekak dan memahami komplikasi yang mungkin timbul.

Gejala-gejala jangkitan tekak

Gejala-gejala jangkitan tekak adalah pelbagai, daripada ringan hingga teruk, bergantung kepada keadaannya. Kebanyakan gejala ringan yang diperhatikan pada kanak-kanak adalah sama seperti apa yang dialami oleh orang dewasa. Ini termasuk:

  • Kegatalan pada tekak
  • Sakit apabila atau semasa menelan
  • Batuk
  • Bersin
  • Kerongkong mungkin menjadi sangat kemerahan atau ada tompok-tompok putih di atasnya.

Gejala-gejala ini boleh dirawati di rumah dengan meminum teh yang ditambah dengan madu, berkumur dengan air garam beberapa kali sehari atau menggunakan pelembap untuk mengatasi masalah kekeringan.

Jenis-jenis jangkitan tekak

Terdapat beberapa jenis jangkitan tekak yang mungkin berpunca daripada virus atau bakteria, dan semuanya bermula dengan sakit tekak. Sakit tekak septik adalah sakit tekak atau jangkitan tekak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria. Kebanyakan jangkitan tekak bakteria adalah disebabkan oleh bakteria Streptokokus.

Jangkitan tekak Strep adalah satu jangkitan yang berpunca daripada bakteria A Streptokokus yang menyebabkan keradangan tekak. Ia boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur, tetapi ia adalah paling lazim berlaku di kalangan kanakkanak sekolah dan orang dewasa muda. Gejala-gejala jangkitan tekak strep termasuk tidur tidak lena, kerengsaan dan demam. Ruam yang halus dan merah juga mungkin kelihatan pada tangan dan kaki anak anda.

Tonsillitis adalah satu penyakit yang melibatkan keradangan tonsil, iaitu tisu limfa yang berada pada kedua-dua belah bahagian atas tekak. Tonsil bertindak sebagai sebahagian daripada sistem imun dan mengandungi sel yang memerangkap dan membunuh bakteria yang hadir dalam badan. Gejala-gejalanya termasuk nodus limfa di kawasan tonsil membengkak, kesukaran untuk menelan dan kehilangan suara sementara.

Merawati jangkitan tekak dengan cara mudah

  • Jikalau jangkitan tekak anda adalah disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan dipreskripsikan untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan tersebut. Antibiotik dapat menghalang penyebaran penyakit tersebut kepada orang lain dan juga boleh mengurangkan risiko penyebaran jangkitan ke bahagian lain badan anda.
  • Minum banyak cecair, terutamanya air kosong, untuk mengekalkan penghidratan badan.
  • Jika menelan adalah sukar atau sakit, ambilah makanan yang lembut, cubalah minum sup yang dimasak sendiri dan minum air suam untuk meredakan kesakitan.

Kebanyakan jangkitan tekak adalah ringan dan akan hilang tanpa meninggalkan sebarang komplikasi. Namun, jika ia berterusan kepada komplikasi yang selanjutnya, anda harus mendapatkan nasihat daripada doktor anda.

By YB Shehan

YB Shehan merupakan penulis blog Mommy's Diary of Life (www.shehanzstudio.com). Merupakan bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan kini bergelar blogger sepenuh masa.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!