Berlabuh Di Phuket – Jangan Lupa Isi TDAC Dulu! Pagi kedua atas Star Voyager sebenarnya bermula dengan sedikit drama. 😂
Aku memang bercadang nak bangun awal untuk menikmati pemandangan laut dari balcony. Tapi bila buka mata, aku boleh rasa kapal bergoyang lebih kuat daripada malam sebelumnya. Mula-mula aku ingatkan biasa je. Aku ke The Lido untuk sarapan pagi seperti biasa.

Lama-kelamaan rasa pening pula datang. Rupanya pagi tu laut agak bergelora. Aku nampak yang kapal sudah mula mendekati Phuket, tapi aku dah tak mampu nak sarapan seperti biasa. Mujurlah kuih pagi tu sekurang-kurangnya mengisi perut aku. Kalau aku tak makan langsung, susah pula nanti sebab dekat sini memang tak boleh repeat kali kedua. Kalau nak makan lagi pun, perlu bayar. 😂

Akhirnya aku ambil keputusan untuk naik semula ke cabin, makan ubat mabuk laut (Hurix’s Travel Care) dan berehat sekejap. Nasib baik lepas tu keadaan beransur okay.
Baca : Part 1 – Rezeki Menang Star Voyager Cruise
BERLABUH DI PHUKET – APA AKU BUAT DALAM MASA YANG SINGKAT?
Lebih kurang jam 3 petang, Star Voyager akhirnya tiba di Phuket. Lepas pengalaman mabuk laut waktu pagi tadi, memang lega juga bila kapal dah mula perlahan dan kami nampak Phuket semakin dekat.
Satu benda yang aku rasa menarik untuk dikongsikan, kebiasaannya bila cruise singgah di sesetengah port, penumpang mungkin perlu menggunakan tendering boat untuk turun ke darat. Tapi untuk trip kami kali ni, tak perlu. Star Voyager berlabuh alongside, jadi kami boleh turun terus dari kapal ke terminal tanpa perlu naik tender boat.

Ini memang memudahkan sebab tak perlu tunggu giliran untuk tender dan proses turun kapal pun lebih straightforward.
Satu lagi yang menarik, untuk jalan-jalan di Phuket kali ni aku tak bawa passport bersama, cuma cabin card. Passport kan ditinggalkan bersama kru kapal dengan selamat dan aku cuma bawa barang yang diperlukan untuk keluar jalan-jalan seperti kipas dan duit cash THB.
Sebelum turun, pastikan Thailand Digital Arrival Card (TDAC) dah ready in case diperlukan.
DARI LONE RANGER, ADA GENG PHUKET
Macam yang aku cerita sebelum ni, trip kali ni sebenarnya aku datang lone ranger. Jadi memang dari awal aku dah bayangkan akan banyak bergerak seorang diri. Tapi masa menunggu hampir dua jam sebelum melalui imigresen, aku sempat berkenalan dengan satu pasangan suami isteri. Nama dia Ida, dari Terengganu.
Sembang punya sembang, okay juga rupanya. Lepas masuk kapal, biasalah.. masing-masing bawa hal sendiri. Aku pun ingat dah takkan jumpa lagi.
Sekali.. Masa beratur untuk turun kapal di Phuket, aku ternampak mereka lagi! Terus aku ajak mereka join sekali naik teksi ke Phuket Old Town. Daripada jalan seorang, dapatlah ada geng.

Mula-mula aku cuba book teksi menggunakan Grab. Entah kenapa booking tu auto-cancel. Bila tengok harga semula, rupanya terus dinaikkan harga. Patutlah cancel. Aku cuba pula Maxim. Yang ni pula hampir setengah jam menunggu, kena scam pula. Tengok map, jauh dari pelabuhan.


Akhirnya ada seorang driver tempatan yang datang menawarkan servis teksi. Pakcik Kasim. Itu pun berkali-kali disuruh aku cancel Maxim tu.
Dia offer 1,000 Baht untuk pergi dan balik ke Phuket Old Town, siap boleh singgah 7E masa perjalanan balik (ini kami yang request otw balik). Bila dah fikir masa pun tak panjang sangat, kami pun setuju.
Sekurang-kurangnya tak perlu pening fikir nak dapatkan Grab atau Maxim lagi. Lagi pun bila ada driver yang tunggu dan bawa kami pergi balik, lebih senang sebab kami dah tahu macam mana nak kembali ke terminal nanti.
Dari situ kami terus bergerak menuju ke Phuket Old Town. Kami jalan berasingan di Phuket Old Town, malas la nak ganggu suami isteri kan. Dan aku rasa, solo travel ni boleh tahan best juga. Aku setup tripod dan ambil gambar sekitar old town, sambil menikmati suasana sekejap sebelum bergerak balik ke terminal.









Sempat juga aku singgah kedai viral antaranya “Talay Craft & Souvenir” untuk shopping. Oolong tea aku beli di sini.



Hujan agak lebat turun secara tiba-tiba. Syukur juga la sebab keadaan jadi tak panas, kipas pun tak diperlukan. Seller di sini ada yang jenis ramah, ada yang jenis garang gila. Haha.

Sebelum balik, driver tu tunaikan janji dia dan singgah di 7-Eleven. Jadi sempatlah juga beli apa yang patut sebelum kembali ke kapal.
Dan di luar kapal pun ada pasar malam. Sempat lah aku beli tote bag besar sebab barang aku dah mula tak muat dalam luggage. Harga dalam 170thb. Calculator memang sentiasa aku on sebab nak convert.

Masa memang agak terhad sebab Star Voyager dijadualkan berlepas semula pada 10 malam. Jadi sepanjang berada di Phuket, kami memang kena sentiasa tengok jam. Tapi aku masuk awal sebab aku nak dinner kt The Lido. Last dinner jam 9 malam.
ZODIAC THEATRE – SHOW YANG JANGAN LEPAS KALAU NAIK STAR VOYAGER
Salah satu tempat yang aku sempat experience sepanjang naik Star Voyager ialah Zodiac Theatre.
Aku sebenarnya sempat tengok persembahan di sini dua kali — pada malam pertama dan sekali lagi pada hari hterakhir sebelum check-out.
Malam pertama, lepas dinner di The Lido, aku terus ke Zodiac Theatre untuk tengok show. Memang seronok sebab selepas makan, boleh terus sambung dengan entertainment pula.

Theatre dia pun memang besar dan selesa. Jadi kalau korang suka tengok live performance, aku rasa memang berbaloi untuk semak jadual show dalam ship app dan luangkan masa untuk datang.
Yang menariknya, hari terakhir sebelum check-out kami sempat datang lagi untuk tengok persembahan yang lain. Jadi sepanjang trip 3 Hari 2 Malam ni, Zodiac Theatre memang antara tempat yang aku sempat repeat.
Bagi aku, inilah salah satu kelebihan naik cruise. Kita bukan sekadar duduk dalam cabin atau makan saja. Setiap malam ada aktiviti dan entertainment yang boleh dipilih mengikut jadual.
Kalau dah naik Star Voyager nanti, memang aku cadangkan check daily activity dalam ship app. Jangan sampai dah balik baru tahu ada show yang sebenarnya korang boleh tengok.
HARI TERAKHIR ATAS STAR VOYAGER – EXPLORE KAPAL DAN CUBA POSING ALA TITANIC
Disebabkan hari kedua lebih banyak masa dihabiskan di Phuket, hari terakhir pula aku gunakan untuk explore Star Voyager dengan lebih santai. Tak naklah dah nak balik baru sedar ada tempat yang tak sempat tengok. 😂






Antara facilities yang sempat aku jelajah ialah kawasan swimming pool, Aqua Park, Adventure Park dan beberapa ruang santai di atas kapal. Selain tu memang ada juga pelbagai kemudahan dan aktiviti lain seperti Zodiac Theatre, fitness centre, spa, restoran dan tempat hiburan, jadi memang banyak benda boleh dibuat sepanjang berada atas kapal.


Aku pula sempat cuba Zipline di Adventure Park. Masa tengok dari bawah memang nampak macam seronok dan mudah je. Bila dah sampai atas dan tengok ke bawah.

Haaa.. lain macam pula perasaan. 😂 Tapi dah alang-alang sampai atas, buat je lah. Bila dah mula bergerak, sebenarnya seronok juga. Cuma tak tahu muka aku masa tu nampak excited atau tengah tahan gayat. Part hujung tu je aku tutup mata sebab rasa gerun mula datang secara tiba-tiba.


Dan mestilah, bila dah berada atas cruise dengan laut luas terbentang di belakang, takkanlah tak buat posing ala-ala Titanic kan? Aku cari port yang sesuai, berdiri dengan gaya konon-konon tengah berada di hujung kapal dan ambil gambar.
Bagi aku, inilah antara benda yang seronok tentang cruise. Tak semestinya kena ada itinerary padat setiap masa. Kadang-kadang jalan-jalan atas kapal, cari spot cantik, ambil gambar dan menikmati pemandangan laut pun dah cukup.
Lepas puas explore, cuba aktiviti dan ambil gambar, aku sambung dengan lunch sebelum balik semula ke cabin untuk mengemas barang.
Masa ni baru terasa yang trip dah hampir habis. Baru je rasa macam dah pandai nak explore kapal, dah kena kemas beg untuk balik.
TAK NAK BALIKKKKKK!!!
BAYARAN ATAS KAPAL & PROSES CHECK OUT
Sebelum turun dari kapal, semua pembelian yang dibuat sepanjang perjalanan akan diselesaikan terlebih dahulu.
Untuk trip kali ni, aku bertuah sebab fuel surcharge free. Jadi pada hari terakhir, aku cuma perlu menjelaskan bayaran gratuity sahaja.
Aku menggunakan Touch ‘n Go Visa Card untuk membuat pembayaran dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.



Satu lagi perkara yang mungkin berguna untuk first timer.
Sebelum tiba di Port Klang, kami diminta meletakkan luggage di luar cabin sebelum jam 5 petang. Lepas tu kru akan datang mengutip semuanya.

Jadi memang lebih mudah sebab tak perlu lagi mengheret beg besar sepanjang perjalanan keluar dari kapal. Passport yang disimpan sejak hari pertama pula akan dipulangkan semula sebelum proses turun dari kapal.
Jadi jangan risau kalau pihak cruise mengambil passport semasa check-in kerana memang itu prosedur mereka untuk urusan imigresen.
Cabin Card tu pula boleh simpan buat kenangan.

APA YANG AKU SUKA TENTANG STAR VOYAGER CRUISE
Kalau ditanya sama ada aku akan naik lagi atau tidak..
Jawapan aku, ya.
Bukan sebab menang Lucky Draw.
Tapi sebab pengalaman bercuti atas cruise ni memang berbeza daripada percutian biasa.
Yang paling aku suka sudah tentulah Balcony Stateroom. Bangun pagi terus nampak laut memang satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan gambar atau video.

Selain tu, aku juga suka kemudahan yang ada atas kapal. Nak makan, ada. Nak tengok persembahan, ada. Nak berehat, ada. Nak bersiar-siar menikmati angin laut pun ada.
Langsung tak rasa bosan.
Dan satu lagi perkara yang memang patut dipuji ialah layanan kru Star Voyager.
Sepanjang tiga hari dua malam ni, setiap kali kami perlukan bantuan atau bertanya sesuatu, mereka sentiasa membantu dengan senyuman.
Benda kecil macam ni sebenarnya yang menjadikan pengalaman bercuti lebih selesa.
TIPS UNTUK FIRST TIMER NAIK STAR VOYAGER CRUISE
Kalau ini kali pertama korang nak naik cruise, aku tinggalkan beberapa tips yang aku sendiri rasa sangat membantu.
- Datang ikut waktu check-in yang diberikan. Kalau datang awal macam aku, ada peluang untuk masuk lebih awal juga.
- Pastikan passport masih sah sekurang-kurangnya enam bulan.
- Simpan booking confirmation dalam telefon, terutama muka surat pertama yang memaparkan nombor cabin.
- Isi TDAC lebih awal kalau itinerary singgah di Thailand.
- Bawa ubat mabuk laut walaupun rasa diri tak mudah mabuk. Aku beli brand Hurix – Travel Care Capsule. Rasa macam herba tapi power.
- Jangan lupa beli WiFi kalau memang perlukan internet sepanjang berada atas kapal.
- Gunakan portal theconcierge.scstarvoyager.com untuk semak jadual aktiviti setiap hari.
- Luangkan masa duduk di balcony walaupun hanya beberapa minit. Bagi aku, itulah antara moment paling tenang sepanjang trip.
- Jangan lupa portable bidet hehe

STAR VOYAGER CRUISE — BERBALOI KE?
Kalau korang tanya aku.. Memang berbaloi.
Terutama untuk mereka yang baru pertama kali nak merasa pengalaman bercuti atas cruise.
Dalam satu trip, korang boleh berehat, menikmati pelbagai pilihan makanan, menonton persembahan, singgah di negara lain dan pada masa yang sama tak perlu fikir nak berpindah hotel atau memandu jauh.












Bagi aku, konsep percutian macam ni memang cukup santai. Cruise itulah DESTINASI perjalanan kita.
Kalau diberi peluang lagi, memang aku nak cuba itinerary yang lebih panjang pula.
Sebab sejujurnya.. 3 Hari 2 Malam rasa sekejap sangat.
Baru nak biasakan diri dengan suasana atas kapal, dah sampai masa untuk balik. Huwaaaaa!!

PENDAPAT AKU
Kalau difikirkan balik, semuanya bermula hanya kerana satu Lucky Draw Tripfez. Daripada sekadar mencuba nasib, akhirnya aku dapat merasai sendiri pengalaman bercuti atas Star Voyager Cruise.
Aku dapat menyambut Hari Raya Aidiladha dengan cara yang berbeza, menikmati pemandangan laut dari Balcony Stateroom, makan malam di The Lido, menonton show di Zodiac Theatre, layan live concert, berjalan-jalan di Phuket dan mengenali sendiri bagaimana kehidupan atas cruise sebenarnya.
Kalau korang sedang mencari idea untuk short getaway bersama pasangan, keluarga atau kawan-kawan, aku rasa Star Voyager Cruise memang antara pilihan yang patut dipertimbangkan.
Sekurang-kurangnya cuba sekali.
Mana tahu..
Lepas turun dari kapal nanti, korang pun akan jadi macam aku.
Dah balik rumah, tapi masih teringat-teringat suasana atas Star Voyager, sampai hari ini, walaupun dah lebih tiga bulan. ❤️
Dan untuk pengalaman yang tak disangka-sangka ni, mestilah aku nak ucapkan terima kasih kepada Tripfez kerana memberi peluang melalui Lucky Draw tersebut. Kalau bukan kerana kemenangan itu, mungkin aku masih lagi simpan pengalaman naik cruise dalam wishlist.
Kalau korang suka mencari idea percutian, promosi travel atau peluang menarik macam ni, bolehlah follow Tripfez di media sosial.
Mana tahu…
Lepas ni rezeki korang pula! 🚢✨
Untuk korang yang nak tengok lebih banyak gambar dan video sepanjang trip Star Voyager ni, boleh singgah ke Instagram dan TikTok aku @myapilot. Banyak lagi momen yang tak sempat aku masukkan dalam artikel ni.