Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah jangkitan bakteria akut melibatkan saluran pernafasan. Jangkitan Pertussis melibatkan sekurang-kurangnya 20 juta kes di seluruh dunia. Anggaran 90% daripada kes tersebut berlaku di negara membangun dengan 200,000 hingga 300,000 kematian setiap tahun.
Agen penyebab: Bordetella pertussis.
Cara jangkitan: Melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti.
Tempoh pengeraman: Lazimnya antara 9 hingga 10 hari dengan julat antara 6 hingga 20 hari.
Pertussis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. Namun, bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Tanda dan gejala
- Bermula dengan batuk gatal dan lama kelamaan menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu dan berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih.
- Tanda paroxysms adalah batuk berulang yang berterusan dan teruk. Setiap siri paroxysms boleh menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.
- Kahak batuk selalunya berwarna jernih. Batuk juga boleh disusuli oleh muntah.
- Seseorang yang dijangkiti bakteria Pertussis boleh menularkan jangkitan kepada orang lain dalam tempoh dua minggu pertama gejala batuk bermula.
Komplikasi
- Pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian boleh berlaku.
- Kekurangan zat, hilang berat badan merupakan komplikasi akibat muntah yang berulang.
- Sawan juga boleh berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan tanpa sempat bernafas.
Rawatan
- Seseorang yang mengalami gejala perlu mendapatkan rawatan. Rawatan khusus termasuk antibiotik seperti Erythromycin, Clarithromycin atau Azithromycin untuk memendekkan tempoh jangkitan.
Pencegahan
- Pelalian merupakan cara pencegahan yang berkesan dan selamat.
- Pelalian menggunakan vaksin Pertussis. Sekurang-kurangnya 3 dos dan diberikan secara suntikan. Di Malaysia, pelalian diberikan kepada bayi sebanyak 4 dos mengikut Jadual Program Imunisasi Kebangsaan. Pelalian diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan serta dos tambahan (booster) pada umur 18 bulan.
Seseorang yang mempunyai gejala batuk perlu mengamalkan adab batuk (menutup mulut ketika batuk) dan mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain. Seseorang yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Pertussis.
Mommy ada ternampak FB sharing yang rasanya laporan ini dibuat pada bulan Mac 2015 (Jamadil Akhir 1436H) dari Puan Suhaila Zainal Abidin.
Moga kita & keluarga dilindungi. Amin.
p/s : teringat kisah Hannah Damia terkena serangan batuk masa umur 2 bulan. Punca segalanya selepas sakit tersebut. Antibodi pun lemah. Tskk.. Boleh baca sini.
ISI KANDUNGAN
hide