16/06/2024 2:06 PM
Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan dari majalah Parenting

Buah-buahan dan sayur-sayuran penuh dengan nutrien, warna, rasa dan tekstur. Di sini kami tunjukkan bagaimana menjadikannya salah satu bahagian penting di peringkat penyediaan makanan tambahan untuk bayi.

  • Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh menukar hidangan biasa kepada hidangan yang hebat dengan kepelbagaian warna dan teksturnya. Ia juga padat dengan vitamin dan mineral yang bayi perlukan terutamanya apabila menjelang usia 6 bulan. Kini bayi memerlukan nutrien tambahan selain daripada apa yang diperolehinya daripada susu ibu.
  • Makanan tambahan yang merangkumi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran akan membantu perkembangan rasa si bayi bermula dari peringkat awal lagi.
  • Jika boleh, guna pelbagai jenis buah dan sayuran yang segar. Mula dengan kuantiti yang sedikit dan perkenalkan satu jenis sahaja dalam sesuatu masa. Berikan buah atau sayuran yang sama selama 3 hingga 5 hari supaya si bayi dapat menyesuaikan diri dengan rasa baru sebelum memperkenalkan rasa yang lain. Pada masa ini juga anda boleh mengetahui toleransi si bayi terhadap makanan tersebut di samping mengenalpasti sebarang alahan sekiranya berlaku.
Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sebahagian daripada diet sihat yang merangkumi kesemua kumpulan makanan. Untuk membantu si bayi memupuk amalan makanan sihat dan seimbang serta membiasakan diri kepada pelbagai jenis rasa makanan, anda perlu memberi penekanan kepada pelbagai makanan dari setiap kumpulan secara seimbang. Kesemuanya dapat membekalkan pelbagai jenis vitamin dan nutrien dalam jumlah yang berlainan. Anda tidak boleh hidangkan sejenis makanan sahaja tanpa yang lain.
Petua Penyediaan Buah dan Sayuran
  • Elakkan membeli buahan atau sayuran yang telah lebam dan berkedut.
  • Gunakan sayuran dan buah sebaik sahaja selepas dibeli.
  • Buang segala kesan racun serangga atau bahan kimia lain dengan membasuh buah sebersihnya, lebih-lebih lagi buah yang kulitnya hendak dimakan.
  • Potong buah dan sayuran hanya apabila anda ingin memakannya. Jika buah dipotong dan disimpan untuk masa yang lama, ia boleh kehilangan vitamin. 
  • Jangan rendam sayuran yang telah dipotong di dalam air kerana ia akan kehilangan vitamin.
  • Stimkan sayuran dan buah menggunakan pengukus supaya anda dapat mengekalkan vitamin yang biasanya hilang jika dimasak cara biasa.
  • Masak buah dan sayuran yang berkulit lembut bersama kulitnya sekali. Ini akan mengekalkan vitamin dan membekalkan serat.

TEKNIK/PETUA

Singkatan ABC merupakan satu pendekatan dalam menggalakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan buah?

  • Sentiasa AMALKAN..
    • Menjadikan buah sebagai snek menggantikan makanan ringan.
    • Menggantikan minuman berkarbonat dengan jus buah-buahan.
    • Makan sayur dan salad atau ulam semasa makan tengahari dan makan malam.
  • Sentiasa BUAT…
    • Menambahkan sayur dalam masakan dan hidangan seperti mi goreng dan sandwich.
    • Masak sayur dengan air sedikit.
    • Masak dengan cara yang rendah lemak seperti kukus, rebus, celur, tumis dengan sedikit minyak.
    • Elakkan memasak yang terlalu lama.
  • Sentiasa CAKAP….
    • Yummm.yummm…sedapnya makan buah dan sayur ini..
    • Slurpppppp…lazatnya jus buah ini..
    • Kurp..Kurp..krup…enaknya sayur kacang ini..
    • Wowww…ada pelbagai warna dan rasa buah dan sayur.
    • Eeeekkk…buah dan sayur ini menghilangkan rasa lapar dan dahaga..Jadi…
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin dan mineral dapat meningkatkan daya ketahanan badan daripada penyakit, menghindari sembelit dan mengurangkan risiko kejadian penyakit jantung dan kanser. Jika kanak-kanak diajar memakan sayur pada peringkat awal, risiko mendapat penyakit dapat dikurangkan. Pendekatan ABC dapat membantu menggalakkan pengambilan buah dan sayur di kalangan kanak-kanak. Ini penting untuk kesihatan mereka. Jadi, dengan ABC, Anak anda Boleh Cuba…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!