Baru-baru ni kan keputusan SPM keluar. Memang ramai yang Mommy tengok, keputusan sangat memberangsangkan. Bangga tak terkira bila ibu bapa melihat kecemerlangan anak begitu. Siapa yang tak inginkan anak berjaya kan? Dan rata-rata yang Mommy baca, bila ditanya rahsia kejayaan, mesti akan ada jawapan ‘sering buat solat hajat’. Solat sunat hajat didirikan apabila kita sebagai manusia ini inginkan sesuatu dari Allah. Selain berdoa, buatlah solat hajat.

APA MAKSUD SOLAT HAJAT?
Solat Hajat merupakan solat sunat yang didirikan apabila kita ingin memohon sesuatu hajat daripada Allah. Hajat sama ada ingin memohon kebaikan ataupun menolak sebarang keburukan. Tidak kurang juga ada yang solat hajat memohon dijumpakan jodoh, dikurniakan zuriat. Atau erti kata mudah, solat hajat boleh menjadi salah satu cara doa kita cepat termakbul.
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” — Surah Ghafir ayat 60
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.” (Riwayat At-Tarmizi)
APA HIKMAHNYA?
Antara hikmah dan fadhilat solat hajat adalah selepas meluahkan semua keinginan dan hajat serta doa kepada Allah, diri sendiri akan rasa lebih tenang. Hati akan menjadi ikhlas menerima ketentuan Allah dan yakin dengan apa sahaja yang akan berlaku. Permohonan hajat dimakbulkan oleh Allah.
Baca : Cara Solat Taubat
BILA BOLEH SOLAT HAJAT DAN WAKTU YANG DIHARAMKAN?
Solat sunat hajat boleh dilakukan di waktu siang dan malam. Namun, haram dilakukan selepas solat subuh dan asar. Solat hajat boleh dilakukan secara berjemaah (jika hajatnya sama) atau bersendirian. Bilangan rakaat solat hajat mengikut mazhab Syafie, adalah 2 rakaat.
Artikel lain : Penjelasan berkaitan hukum wuduk dengan menyapu di atas stokin
CARA-CARA SOLAT HAJAT
Cara-cara solat hajat adalah :
1. Niat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ ركْعَتَيْنِ أدَاءً لِلَّه تَعَالَى
“Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”
2. Rakaat Pertama
1. Dimulakan dengan takbir dengan menyebut lafaz ‘Allahu Akbar’ dan disertakan dengan niat dalam hati.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca surah al-Fatihah (satu kali).
4. Dianjurkan membaca surah asy-Syams (atau surah al-Kafirun) atau ayat Kursi (satu atau 10 kali)
5. Rukuk dan iktidal.
6. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
3. Rakaat Kedua
1. Dimulakan dengan lafaz takbir permulaan rakaat kedua.
2. Membaca surah al-Fatihah (satu kali).
3. Dianjurkan membaca surah al-Ikhlas (satu kali atau 10 kali)
4. Rukuk dan iktidal.
5. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua (disarankan utnuk memanjatkan hajat pada sujud yang terakhir ini)
6. Duduk tahiyyat akhir.
7. Memberi salam.
8. Baca doa solat hajat :
DOA SOLAT HAJAT
للَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِن كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِن كُلِّ إِثْم ٍوَالْفَوْزَ بِالْجَنَّةِ، وَالنَّجَاةَ مِنَ النَّارِ. اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَسْمَعُ كَلَامِي، وَتَرَى مَكَانِي وَتَعْلَمُ سِرِّي وَعَلَانِيَتِي وَلَا يَخْفَى عَلَيْكَ شَيْءٌ مِنْ أَمْرِي وَأَنَا الْبَائِسُ الْفَقِيرُ وَالْمُسْتَغِيثُ
الْمُسْتَجِيرُ وَالْوَجِلُ الْمُشْفِقُ الْمُقِرُّ الْمَعْتَرِفُ إِلَيْكَ بِذَنبِهِ أَسْأَلُكَ مَسْأَلَةَ الْمِسْكِينِ وَأَبْتَهِلُ إِلَيْكَ إِبْتِهَالَ الْمُذْنِبِ
الذّلِيلِ وَأَدْعُوكَ دُعَاءَ الْخَائِفِ الضَّرِيرِ دُعَاءَ مَنْ خَضَعَتْ لَكَ رَقَبَتُهُ وَذَلَّ لَكَ جسْمُهُ وَرَغِمَ لَكَ أَنفُهُ.
“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.
Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.
Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.
Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.”
9. Memohon permintaan yang dihajati.
10. Selawat dan zikir :
لَا إِلهَ إلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
“Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”
Baca lagi : Nama Anak Lelaki
PENUTUP
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah:186)
Allah SWT adalah satu-satunya tempat untuk berharap dan meminta. Semoga segala hajat kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.