PERSEDIAAN SEBELUM BERKHATAN ANAK AUTISM

TAHNIAH ADIK! BERKHATAN ANAK AUTISM – PUN BOLEH BERSUNAT CARA BIASA.

TAHNIAH ADIK! PERSEDIAAN SEBELUM BERKHATAN versi ANAK AUTISM | Syukur alhamdulillah! Siapa sangka yang Mommy tak perlu pun tempah full bius seperti yang selalu disyorkan untuk anak-anak istimewa. Sebab Mommy yakin dan percaya serta KENAL anak Mommy. Ya, sebagai mak, kita ada instinct untuk kenal perangai anak macam mana. Jika tak mampu dikawal, yes please go to hospital. Tiada salah dan betul dalam hal ini. Kita yang kenal anak kita.

Macam mana Mommy tahu Ariq boleh kawal diri?

Kami menunggu peluang untuk Ariq pandai kawal diri ini melalui beberapa rutin yang pernah dilakukan sebelum ini. Bertahun juga la nak atasi masalah sensori Ariq.

  1. Melalui potong rambut – tak dinafikan anak-anak autism mostly akan ada isu sensori dan paling ketara untuk Ariq ketika potong rambut. dia mudah rasa geli dan agak sukar dikawal. Berkat sabar dan cubaan demi cubaan, akhirnya semua tu dah boleh dibuat tanpa masalah. Geli tu ada juga kadang-kadang terutamanya di telinga.
  2. Melalui dentist – ini adalah kejayaan paling besar rasanya buat kami bila Ariq dapat kawal diri dan tiada rasa takut berjumpa dentist. Semuanya bermula sebelum PKP di mana dia berjaya buat scaling. Dan tahun lepas scaling lagi tanpa perlu teman di sisi.

Jadi, apa point utama di sini? Pastikan anak bersedia dan faham sedikit walaupun tidak sepenuhnya. Percaya kemampuan anak. Tapi diulangi, kenali anak anda betul-betul.

APA ITU KHATAN DAN APA FAEDAHNYA?

Khatan ini adalah prosedur pembedahan kecil membuang kulit kulup pada kemaluan lelaki (yang perempuan Islam biasanya dibuat ketika masih bayi), dan ianya adalah Sunnah Nabi.

Selain tuntutan agama, ia sebenarnya digalakkan atas sebab menjaga kebersihan dan kesihatan. Banyak dah negara yang bukan negara Islam pun yang buat khatan ni tau.

persediaan sebelum berkhatan
SUMBER : Portal Health Malaysia

Antara faedahnya dari sudut kesihatan adalah :

  • mencegah masalah fizikal berkaitan kulit kulup
  • mengurangkan risiko keradangan kulit zakar
  • mengurangkan risiko jangkitan pundi kencing
  • merendahkan risiko jangkitan penyakit kelamin seperti HIV, HPV, Herpes, Sifilis, etc
  • mengurangkan masalah ereksi terutamanya ketika remaja
  • menghilangkan risiko mengidap kanser zakar
  • sesuai semua peringkat, bayi, kanak-kanak dan dewasa melalui kaedah yang sesuai.

Teknik berkhatan yang ada antaranya adalah clamp, plastibell, stapler dan laser (berjahit).

APA PERSEDIAAN SEBELUM BERKHATAN ANAK AUTISM

persediaan sebelum berkhatan

Kami sebagai ibu bapa terlebih dahulu melawat klinik dan cuba fahamkan terlebih dahulu melalui penerangan doktor tentang semua teknik dan barulah kami cuba fahamkan Ariq di rumah dengan bercerita dan memujuk slowly.

Pilihan kami untuk Ariq adalah kaedah Laser, kerana tidak perlu lawatan susulan dan cepat kering inshaa Allah. Namun, apa yang perlu kami buat terlebih dahulu sebelum bawa dia ke klinik untuk berkhatan, adalah :

1. Pastikan anak bersedia dan faham

Ya, Mommy tahu bukan senang nak fahamkan anak-anak istimewa ini tentang sunat/berkhatan ini. Ye lah. Kadang yang dah besar dan anak normal pun masih tak faham kenapa perlu berkhatan.

Kena terangkan kenapa perlu bersunat, nak buang kulit hadapan, kebaikan seperti nak elak kotor dan sebagainya. Ya, slowly kena fahamkan.

Sedikit sebanyak dia akan faham yang dia akan sakit bila melalui proses khatan ini. Dan buatlah sedikit demo kat mana doktor akan cucuk dan tengok reaksinya. Jangan putus asa untuk terangkan proses sebab anak autism ini mudah faham fakta step by step ini.

2. Waktu yang sesuai

Kami memilih cuti sekolah dan ya mungkin agak lambat sedikit kerana hanya ada seminggu sahaja lagi sebelum sekolah dibuka semula. Tapi itu sahaja tarikh yang doktor ada.

Dan kami harap pilihan kaedah laser ini cepat sembuh dalam tempoh seminggu sebelum sekolah ini.

3. Pilihan klinik atau hospital sesuai

Anak istimewa biasanya akan cepat tantrum jika keadaan persekitaran agak bising dan merimaskan dia. Mommy memilih waktu malam dan pesakit biasanya tidak ramai ketika itu.

Kami pastikan klinik dan doktor tersebut faham situasi dan keadaan anak kami sebelum proses berkhatan. Jika doktor familiar dengan keadaan pesakit seperti Ariq, inshaa Allah tiada masalah.

Jika keadaan anak yang jenis mudah tantrum dan hyperaktif, memang tak digalakkan bersunat cara biasa.

Berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu.

PROSEDUR BERKHATAN SECARA LASER

Mommy dah standby Ariq dengan iPad untuk alih perhatian dia masa nih. Mommy doa non stop supaya Ariq beri kerjasama dengan baik malam ini (23/12/2022).

Selepas konsultasi dengan doktor, Ariq boleh buat proses berkhatan menggunakan kaedah laser. Ariq dibaringkan terlebih dahulu dan dia tiada potensi untuk amukan dan sebagainya. Jadi, kami tidak perlu ke hospital untuk prosedur bius penuh.

Untuk makluman, jika perlukan bius penuh, ada banyak lagi prosedur yang perlu diikut. Bincang dengan doktor anda ya.

1. Bacaan doa

Selepas dibaringkan, doktor memulakan dengan bacaan doa terlebih dahulu. Mommy dan Daddy ajak Ariq untuk sama-sama berdoa walaupun Mommy tak tahu doa apa yang sebenarnya Ariq baca masa tu. Mungkin doa makan. Haha. Ok tu adik. Doa dipermudahkan juga tu.

2. Mommy Daddy di bahagian kepala

Mommy dan Daddy bersedia di bahagian kepala Ariq sambil menenangkan dia untuk fokus sahaja kepada ipad yang dipegangnya. Doktor menyuruh kami memegang tangan sebelum ubat bius dicucuk di bahagian ari-ari.

3. Dicucuk ubat bius

Terkejut dicucuk jarum, Ariq spontan menangis dan mengadu sakit. Mommy, sakit! Sakit! Tapi dia tidak memberontak atau menggelupur masa tu. Nampak la mata berair menahan sakit. Good job adik! Risau juga kalau terangkat kaki, tapi tidak. Kekal tenang.

persediaan sebelum berkhatan

4. Dicucuk ubat kali ke 2

Ketika doktor menguji samada Ariq masih terasa sakit bila kulit zakar hadapannya itu ditarik, ternyata Ariq masih ada respon sakit. Jadi, ubat dicucuk kali kedua sehingga Ariq tiada lagi respon sakit. Ariq kekal tenang walaupun sudah ditarik-tarik, dikepit-kepit dan dilaser selepas itu.

5. Prosedur laser

Prosedur laser cepat je dibuat. Doktor bertanya samada kami nak bawa pulang untuk tanam ataupun tidak. Kami memilih untuk tidak bawa pulang. Haha.

6. Prosedur jahit

Selesai laser, doktor akan menjahit sekitar kawasan yang selesai dikhatan. Masa ini Ariq dah mula terasa kesan ubat bius makin berkurang. Air mata pun sudah mula bergenang. Kesian. Tapi dia masih kuat menahan.

JENIS LUKA BERKHATAN

Mommy kongsi sikit info jenis luka berkhatan hasil bacaan Mommy di Portal Health Malaysia.

PENJAGAAN LUKA SELEPAS BERKHATAN

Tak dinafikan memang seriau juga nak jaga luka berkhatan ini. Tapi doktor banyak bagi info yang menenangkan dan buat kami tak perlu overthinking dan risau untuk jaga Ariq ini.

Luka sunat ini memang tak sama bagi setiap kanak-kanak. Mujur juga lah Ariq bukan kategori ‘buta‘. Jadi mungkin mudah sikit untuk dijaga.

1. Cuci luka dengan cara mandi sahaja

Percaya atau tidak, doktor tidak bekalkan apa-apa ubat spray atau sapu atau normal saline dan sebagainya untuk mencuci luka. Cukup dengan hanya cuci luka dengan cara mandi sahaja.

Ariq of course rasa ngilu lagi, jadi kami hati-hati nak ajar dia basuh kencing dan mandi. Hari pertama tu, memang meraung juga la kena air.

Kemudian perlu lap kering. Semestinya Ariq tak benarkan kami menyentuh sebab masih sakit, jadi nak tak nak kena biarkan kering sendiri dengan cara letak kipas depannya.

2. Makan ubat

Hanya ada 2 ubat yang dibekalkan iaitu ubat tahan sakit (ubat demam) dan juga antibiotik.

Kami memilih waktu malam sebab sekurang-kurangnya, dia dapat tidur lepas makan ubat. Malam pertama tu, terjaga sekejap lah jam 2 pagi. Daddy yang setia teman jaga dia selama 2 malam ni, hanya mampu memujuk slowly. Akhirnya tertidur juga lepas makan ubat tahan sakit.

3. Cecair kuning di kepala

Mujurlah doktor dah beritahu awal-awal yang akan ada cecair kuning di kepala sekitar luka, dan ini adalah normal. Bukan nanah. Namun, jangan lupa pastikan cuci sebetulnya ketika mandi / kencing. Jika ada darah sekalipun, hari pertama dan kedua tu biasa.

Namun, jika ada tanda yang kurang normal seperti di bawah ini, kena bawa jumpa doktor ya.

persediaan sebelum berkhatan

4. Periksa jahitan dan tanda jangkitan

Sekali sekala, jenguk la kawasan luka anak tu. Perhatikan tiada tanda-tanda merisaukan di atas tu. Jangan biarkan ia lembap kerana risau ada penyakit lain pula yang singgah.

5. Pastikan kencing duduk

Doktor ada mengajar kami untuk tolak kepala zakar ke bawah ketika duduk untuk kencing, untuk mengelakkan aliran kencing terkena kawasan luka.

6. Seluar dalam selesa

Anak rasa ngilu dan risau jika pakaian yang dipakai bergesel di tempat lukanya. Jadi, kita kena pastikan perkara ini tak berlaku. Mommy ada beli seluar dalam telur dan Ariq nampak selesa memakai seluar dalam jenis ini. Mommy beli 2 helai dan basuh setiap hari. Cepat kering pula tu.

Beli seluar khatan di sini.

Boleh juga nak pakai seluar, janji longgar dan selesa. Ini boleh melancarkan aliran darah dan dapat pengudaraan secukupnya.

Memandangkan rumah ni banyak kucing, tempat tidur Ariq terpaksa kami buat macam kubu menggunakan comforter. Kawasan depan sahaja terbuka untuk angin kipas masuk. Hehe.

7. Berjalan tapi kurang lasak

Anak-anak Autism ni kadang-kadang ada yang jenis melasak. Memang kena jaga la sentiasa. Boleh ajak dia berjalan sekitar rumah, tidak lah asyik baring sahaja. Kurangkan aktiviti bersentuhan sekurang-kurangnya 2 minggu lepas bersunat.

Risau kalau melasak nanti, akan berlaku pendarahan semula, bentan, bengkak, benang tertetas, luka koyak dan luka lambat sembuh.

persediaan sebelum berkhatan

8. Pantang larang

Ada banyak pantang larang yang Mommy dengar, antaranya adalah jangan minum banyak air. Perkara ini sama lah macam masa berpantang bersalin dulu. Mommy tak fikir pasal bentan sebab air, tapi kita nak elak dia asyik nak ke tandas maka risiko lasak itu tinggi (jadi bengkak).

Makanan pun kena jaga untuk elak jadi gatal dan berparut pelik pula nanti. Walaupun doktor cakap tiada masalah makan telur apa semua tu, Mommy tetap elakkan sebab tak tahu kalau tetiba anak kita jadi alahan. Semua badan tak sama. Kalau dah kena, macam mana nak patah balik?

persediaan sebelum berkhatan

9. Risau?

Ok point ni Mommy tambah selepas 5 hari Ariq bersunat. Mommy sangat risau sebab nampak macam tak kering sangat dan luka serta kuping jelas nampak. Mommy singgah ke klinik tempat Ariq bersunat dan tunjuk gambar terkini keadaan Ariq. Doc advise untuk rendam dalam air jika dia tak benarkan kita cuci. Jadi, kuping itu akan kembang dan luruh sendiri. Mommy cuba rendam sehari sekali dan ternyata perkara ini buat Ariq jadi tak seriau dah untuk mandi dan dia sendiri teruja berendam. Jelas, kupingnya keluar sendiri.

DAH DEWASA ANAK MOMMY?

Mommy harap Ariq cepat sembuh dan boleh beraktiviti macam biasa. Asbab bersunat ini, boleh la terapkan nasihat kepada anak-anak supaya jaga kemaluan dari maksiat dan perkara yang dilarang oleh Allah.

Kos berkhatan Ariq cuma RM140. Promosi pembukaan klinik baru di kawasan rumah Mommy. Namun doktornya berpengalaman. Ariq sebenarnya adalah patient yang ke 16 tak salah untuk hari tersebut sahaja. Fuh.. tapi proses pun tak lama. 20 minit siap! Tahniah adik! Dah jadi hero! Mommy Daddy bangga dengan adik.

Semoga info di atas bermanfaat dan marilah pantau luka berkhatan anak-anak.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *