PERANAN SUAMI DALAM PENYUSUAN SUSU IBU

PARENTING
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan suci yang menyatukan dua jiwa. Kasih sayang yang wujud
ini, akan melahirkan perasaan empati dan sikap saling bantu membantu antara satu sama lain.
Setiap pasangan mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia dan sihat. Oleh itu, suami dan isteri
harus memberikan pemakanan yang terbaik kepada setiap anak yang dilahirkan. Pemakanan yang
terbaik untuk bayi sehingga umurnya enam bulan ialah susu ibu. Selepas umur enam bulan, bayi
perlu terus disusukan dengan susu ibu di samping memberikan makanan pelengkap yang lain.
Suami perlu sentiasa memberikan sokongan kepada isterinya, bermula atau sejak isteri
mengandung lagi. Tanggungjawab membesarkan anak ialah tanggungjawab bersama-sama. Suami
berhak untuk menentukan pemakanan terbaik yang akan diberikan kepada bayi apabila dia
dilahirkan nanti, dan sudah pasti susu ibulah jawapannya. Oleh itu suami juga perlu mempunyai
niat dan keazaman yang kuat untuk memastikan bayi akan diberikan susu ibu. Keazaman yang di
sertakan dengan pengetahuan yang mencukupi akan lebih membantu suami menyiapkan dirinya
ke arah penyusuan susu ibu. 
Ilmu tentang penyusuan ini boleh diperoleh melalui banyak sumber.
Antaranya termasuk pendidikan kesihatan yang diperoleh semasa lawatan di klinik mengandung,
risalah-risalah tentang penyusuan, ceramah atau bengkel yang dianjurkan oleh pelbagai pihak,
serta kempen-kempen melalui media masa dan elektronik. Suami perlu merasakan diri mereka
bertanggungjawab dan turut terlibat di dalam perkara ini. Suami tidak perlu berasa malu untuk
bercakap tentang penyusuan. Sifat keterbukaan ini akan membolehkan seorang suami menjadi
seorang bapa yang cukup sempurna. Kesedaran ini akan membuka jalan ke arah usaha untuk
memahami penyusuan susu ibu dengan lebih mendalam. Mereka tidak perlu berasa malu untuk
bertanya. Kakitangan kesihatan akan menghargai sebarang soalan daripada pihak suami.
Tambahan pula, suami ialah orang yang terdekat yang paling memahami dan memberikan
sokongan kuat pada isterinya.
Semasa bayi dilahirkan, suami boleh memberi sokongan emosi dan membantu isteri dengan
menyediakan keperluan yang mencukupi serta kemudahan kepada isteri untuk menyusui bayi.
Suami perlu membantu isteri mengatasi kesulitan yang dialami terutamanya pada peringkat awal
penyusuan. Jika isteri mengalami masalah seperti kebengkakan payudara, puting merekah, tidak
cukup susu atau lain-lain, suami perlu memberikan sokongan dan menolong isteri untuk
mengatasi masalah tersebut. Sokongan fizikal, dorongan dan perhatian suami penting untuk
mengelakkan isteri daripada mengambil jalan mudah memberikan susu formula kepada bayi.
Faktor ini didorong oleh masalah isteri tidak berjaya mengatasi semuanya secara berseorangan.

Untuk menjayakan lagi penyusuan susu ibu, suami perlu membantu isteri menyelesaikan urusan
rumah tangga seperti mencuci pakaian, memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Semua
urusan ini perlu dilakukan bersama-sama, supaya isteri mempunyai masa yang cukup untuk
menyusui bayi. Hal ini kerana menyusukan bayi memerlukan ketenangan untuk memastikan
kelancaran aliran susu. Apabila menyusui dalam keadaan isteri mengalami tekanan, akan
merencatkan pengaliran keluar susu. Suami juga boleh membantu menguruskan bayi seperti
menukar lampin, memandikan bayi, mendukung dan menenangkan bayi yang sedang menangis,
dan sebagainya. Di samping bertujuan membantu isteri, pertolongan ini juga dapat menzahirkan
kasih sayang bapa terhadap anaknya yang baru lahir. Bayi juga memerlukan sentuhan bapanya.
Jika suami tidak mampu melakukan semua ini disebabkan oleh kesibukan bekerja atau tidak
pandai melakukannya, suami perlu meminta bantuan ahli keluarga yang lain atau mencarikan
pembantu rumah.
Terdapat pelbagai cabaran yang mungkin timbul dalam usaha untuk memastikan bayi dapat
menyusu sehingga mencapai umur dua tahun. Cabaran seperti tidak mendapat sokongan
keluarga terutamanya bagi ibu-ibu berkerjaya serta mitos atau kepercayaan yang salah tentang
penyusuan susu ibu, sering mengganggu kelancaran proses menyusui bayi. Kepercayaan seperti
“payudara kecil tidak mampu menghasilkan susu”, boleh mematahkan semangat dan keyakinan
isteri. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab suami sebagai insan terdekat dalam hidup
seseorang isteri untuk mencari ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin supaya dapat
memberikan keyakinan kepada isteri.
Masalah juga sering timbul pada hari pertama hingga hari ketiga kelahiran bayi. Pada waktu ini
penghasilan kolostrum sedikit, seolah-olah tidak mencukupi untuk keperluan bayi. Anggapan ini
menyebabkan ahli keluarga sering menasihatkan si ibu supaya memberikan air masak atau susu
formula untuk mengelakkan bayi menangis. Persepsi ini ternyata salah kerana kandungan dan
jumlah kolostrum yang di terima oleh setiap bayi adalah memadai baginya. Khasiat kolostrum
mampu memenuhi semua keperluan yang bayi perlukan pada masa tersebut. Saiz perut bayi
yang kecil hanya mampu menerima jumlah kolostrum sedikit (lebih kurang 80 hingga 100 ml
sehari). Oleh itu, suami perlulah memainkan peranan untuk meyakinkan ahli keluarga yang lain
bahawa bayi hanya perlukan susu ibu dalam masa enam bulan pertama. Memberikan minuman
lain atau memperkenal puting kosong pada bayi akan mengganggu proses penyusuan susu ibu.

Memandangkan beberapa perkara dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh suami dan
isteri dalam usaha untuk menyusui bayi, kehidupan mereka memerlukan sokongan yang kuat
antara satu sama lain. Suami perlu sentiasa mendorong isteri dalam pelbagai perkara,
terutamanya dalam menentukan pemakanan terbaik untuk anak-anak. Kata-kata perangsang
daripada suami mampu meningkatkan lagi keyakinan isteri supaya dapat meneruskan
penyusuan susu ibu walaupun menghadapi banyak kesulitan. Suami juga boleh mendorong isteri
dengan kata-kata yang positif seperti yang berikut :
i) “ Abang rasa bangga sebab sayang boleh susukan anak kita”
ii) “ Semoga anak kita akan mengenang jasa dan pengorbanan sayang ini”
iii) “ Takpa , sayang pergilah menyusu anak, biar abang saja yang memasak hari ni”
iv) “Sayang tak perlu bimbang lagi tentang urusan rumahtangga, nanti abang carikan
pembantu”
Penyusuan susu ibu bukan sahaja memberikan kelebihan kepada bayi dan ibu, malah
suami juga akan turut merasai kelapangan dari segi ekonomi dan masa. Bayi yang diberikan
susu ibu jarang-jarang mengalami penyakit yang serius. Oleh itu perbelanjaan untuk rawatan
klinik dan hospital akan berkurang. Wang tersebut boleh digunakan untuk membeli insurans
atau membuat tabungan bagi pendidikan anak-anak. Suami juga mempunyai banyak masa untuk
bersama-sama keluarga, dan tenang menjaga bayi yang sihat.

(Visited 90 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *