MERANCANG PERBELANJAAN [SMART PLAN!]

Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda besar ataupun kecil
Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan duit ialah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Anda boleh mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja anda.
Urus wang anda dengan bijak melalui langkah berikut:
Langkah 1 – Menentukan Matlamat Kewangan Anda
Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda untuk berbelanja dengan lebih bijak.
Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana atau panjang. Adakah anda merancang untuk…
  • Membeli rumah
  • Membeli kereta
  • Mulakan keluarga
  • Menabung untuk pendidikan anak anda
  • Melancong
  • Menyediakan perbelanjaan perubatan
  • Menyimpan wang untuk digunakan setelah bersara
Langkah 2 – Menjejaki Mana Perginya Wang Anda
Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda.
Melalui pemerhatian ini, anda dapat mengetahui:
  • Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda
  • Berapa banyak hutang anda setiap bulan
  • Berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan
Langkah 3 – Menilai Tabiat Berbelanja Anda
Jika wang anda tidak berbaki pada penghujung setiap bulan, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja anda. Teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan sama ada apa yang telah anda beli ialah barangan yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda.
Perhatikan sama ada:
  • Anda menggunakan wang simpanan anda untuk membayar bil semasa
  • Anda memohon pinjaman baru untuk membayar pinjaman lama
  • Anda membelanjakan wang melebihi pendapatan anda
  • Anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak
Langkah 4 – Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda
Pelan perbelanjaan membantu anda merancang kewangan. Anda boleh mengesan ke mana duit anda dibelanjakan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan tersebut dan mula merancang simpanan anda.
  • Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah berikut:
  • Tentukan jumlah pendapatan bulanan anda
  • Tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain-lain
  • Ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim (seperti yuran sekolah, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain)

Leave a Reply

CommentLuv badge