Menu
Menu
banner KBBA9

Naracards Seoul Set

BABY : ROTI GANDUM vs ROTI PUTIH

HD tengah ngap.. nyam nyam.. ;p
Kanak-kanak memang suka roti. Amalan ini sangat baik kerana menurut piramid pemakanan, roti merupakan salah satu sumber karbohidrat kompleks yang baik. Tapi, apakah jenis roti yang patut anda berikan kepada anak?
Berdasarkan piramid pemakanan, kanak-kanak yang berusia di antara dua hingga enam tahun perlu mengambil 6 hidangan daripada kumpulan nasi, mi, roti, bijirin dan ubi setiap hari. Manakala bagi kanak-kanak lebih besar, mereka perlu mengambil sebanyak enam hingga 11 hidangan sehari.
Disebabkan roti termasuk dalam kumpulan yang terletak pada aras satu atau dasar piramid pemakanan, tentunya roti sesuai diambil oleh kanak-kanak. Kandungan karbohidrat, protein dan lemak yang ada di dalamnya memenuhi keperluan untuk tumbesaran mereka. Dalam hal ini, ibu bapalah yang bertanggung jawab memastikan anak-anak mendapat khasiat pemakanan sewajarnya.
Bercerita tentang roti, sebenarnya ada banyak jenis roti di sekeliling kita. Ada roti putih, roti gandum, roti berperisa dan banyak lagi. Namun, mana satukah roti yang bagus untuk anak? Sekiranya kanak-kanak diberikan peluang memilih sendiri roti yang ingin mereka makan, tentulah rasa yang menjadi keutamaan. Biasanya kanak-kanak sukakan roti yang manis. Tapi, kita semua tentu tahu bahawa faktor rasa bukan perkara utama dalam memilih makanan yang baik untuk anak.
Perkara utama yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ketika memilih roti untuk anak ialah kandungan kalorinya, lemak, kolesterol, sodium, protein dan zat besi. Roti gandum biasa mengandungi lebih banyak vitamin B6, vitamin E, magnesium, asid folik dan zink. Walau bagaimanapun, kini kebanyakan roti putih turut diperkayakan dengan vitamin-vitamin seperti yang telah disebutkan di atas.
Umumnya, roti gandum penuh mengandungi lebih serat berbanding roti putih. Makanan tinggi serat seperti roti gandum dicadangkan pengambilannya kepada kanak-kanak yang mengalami masalah sembelit.
Roti putih pula selalunya mengandungi lebih banyak kalsium berbanding roti gandum terutamanya jika dibuat menggunakan susu. Walau bagaimanapun, di pasaran sekarang ada roti gandum yang diperkaya dengan kalsium.
Sebenarnya, sama ada roti putih atau roti gandum, pilihlah yang kaya kandungan kalsiumnya (sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus dalam setiap keping), tinggi kandungan serat (sekurang-kurangnya 1 hingga 1.5gm dalam setiap keping) dan sedap rasanya.
Membaca label pada plastik pembungkus tentang khasiat yang terkandung di dalam roti juga membantu anda memilih roti yang berkhasiat. Selain itu, pemilihan roti putih dan roti gandum sebagai sajian sarapan pagi perlulah berdasarkan kepada keperluan penggunaan tenaga. Jika inginkan tenaga yang cepat, roti putih pilihan terbaik. Hal ini kerana karbohidratnya lebih ringkas dan mudah dihadamkan. Hasilnya, tubuh akan cepat mendapat glukosa. Sebaliknya, roti gandum penuh lebih sukar dihadamkan kerana mengandungi karbohidrat kompleks dan serat. Roti ini sesuai untuk individu yang perlukan tenaga berterusan.
Dalam pada itu, pengambilan roti gandum penuh oleh kanak-kanak perlulah dipantau. Hal ini kerana berdasarkan satu kajian terkini, didapati terlalu banyak serat dan terlalu sedikit lemak boleh mengundang masalah kekurangan vitamin di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Kanak-kanak yang makan roti gandum penuh cepat kenyang dan perut mereka sudah tidak ada ruang untuk makanan daripada kategori lain berdasarkan piramid pemakanan. Sedangkan makanan lain seperti produk tenusu, telur, daging dan ikan mengandungi pelbagai nutrien penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Untuk mengatasi masalah ini, pengambilan makanan kaya serat perlulah dikawal. Kepelbagaian pengambilan makanan penting. Diet harian kanak-kanak perlulah mengandungi makanan daripada kumpulan bijirin dan ubi seperti roti, pasta dan ubi kentang; kumpulan makanan kaya kalsium seperti susu dan dadih; kumpulan makanan tinggi berprotein seperti telur, ayam dan daging; serta kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan.
INFO : Kajian mendapati bahawa 100 gram roti mampu memberikan tenaga, karbohidrat, protein, kalsium, fosfor dan besi lebih banyak berbanding 100 gram nasi putih atau mi basah. -PA&MA

Tags: , , , , , , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
error: Content is protected !!