Naracards Korea-Seoul Set

TRIBUTE TO DIN BERAMBOI

Tahun lepas, kita dikejutkan dengan kematian Allahyarham Meor Ahmad @ Din beramboi pada 2-4-2010. Ya..aku terasa sbb aku mmg minat sgt Drama Sebabak & kadang2 tu berangan kot2 la aku berpeluang berdrama, apa idea aku nk kenakan abg din beramboi nih. hehehe.. Tapi, Allah itu Maha Berkuasa. Tiada apa yang boleh menghalang Qada’ & Qadar. Setahun sudah pemergiannya. Al Fatihah utknya.

Dan baru2 ini juga, kematian sahabat sekelasku ketika di UIA, Allahyarham Rudi Yanto bin Abdullah juga mengejutkan orang ramai [batch law degree khususnya]. Al Fatihah jugak untuknya. Allah menyayangi kalian & menjemput kalian lebih awal. πŸ™

Oh..psl Din Beramboi, aku try google sket mengenai arwah & jumpa ini kt wikipedia..

Din Beramboi
Meor Ahmad Fuad Meor Badri, lebih dikenali dengan nama glamor Din Beramboi, ialah seorang pelawak, pelakon, penyanyi, kartunis, penyampai radio dan pengacara televisyen popular Malaysia, berbangsa Melayu. Timangan Din Beramboi juga pernah digunakan untuk dua watak cereka berlainan, salah satu daripadanya ciptaan Meor Ahmad Fuad sendiri dan satu lagi ciptaan kartunis Ujang, yang menjadi titik kontroversi ciplak sekitar pertengahan 1990-an.

Watak cereka Din Beramboi
Nama “Din Beramboi” mula dikenali umum sebagai timangan bagi seorang watak cereka ciptaan kartunis Ibrahim Anon @ Ujangsekitar awal 1990-an. Tetapi sebelum itu, jolokan Din Beramboi sudah digunakan sebagai ‘pengacara’ rekaan berloghat Negeri Sembilan, yang nama penuhnya “Din Beramboi Alai Berjanggut”, dalam siri kaset wawancara komedi rakaman Meor Ahmad Fuad sendiri yang terkenal di kalangan mahasiswa institut pengajian tinggi di Malaysia. Mula-mulanya mendapat ilham dari siri kaset itu untuk konsep watak berkenaan semenjak tahun 1987, Ujang menzahirkan Din Beramboi pada tahun berikutnya dalam majalah Gila-Gila. Din Beramboi diberikan segmen khas dalam edisi Bumper Raya β€œSuper Selebet Hari Lebaran” majalah berkenaan keluaran 15 Mac 1992. 

Ujang meninggalkan majalah Gila-Gila untuk membuka majalah sendiri, iaitu Ujang, dan turut membawa watak Din Beramboi untuk dijadikan maskot majalah baru tersebut. Nama Din Beramboi ciptaan Ujang ini juga dijulang dengan terbitan kaset lawak sendiri, iaitu Radio 9 Din Beramboi dan Din Beramboi Live in Seremban. Kerana watak Din Beramboi inilah majalah Ujang menjadi terkenal pada dekad 1990-an.

Kelarisan watak kartun Din Beramboi sebagai maskot Ujang menemui penghujungnya, setelah Meor Ahmad Fuad tampil untuk mendakwa pihak penerbitan Ujang kerana menciplak watak Din Beramboi sehingga terheret ke mahkamah. Setelah kontroversi hak milik ini digembar-gemburkan di khalayak awam, pertikaian berakhir dengan Ujang menarik diri daripada perebutan watak Din Beramboi lalu memberhentikan segala penglibatan watak tersebut dalam segala bahan penerbitan syarikatnya.

Kebangkitan Din Beramboi sebagai selebriti dunia nyata
Alang-alang terjejas oleh kontroversi hak cipta watak dengan Ujang, Meor Ahmad Fuad mengeluarkan sebuah buku bertajuk Siri Sawancara Eksklusif Din Beramboi terbitan Melati Publishing, Kuala Lumpur pada tahun 1995. Selain penglibatannya dalam siri kaset Din Beramboi yang asli, Meor Ahmad Fuad melonjakkan nama di mata umum sebagai seorang juruhebah rancangan Ronda-Ronda di stesen Time Highway Radio sekitar tahun 1996. Mulai tahun 1997, beliau berjaya menerbitkan majalah Din Beramboi di bawah Tempo Publishing, Petaling Jaya, selama lapan isu sahaja. Apapun, semenjak terlerainya kontroversi keempunyaan watak kartun tersebut, timangan Din Beramboi kekal hak milik Meor Ahmad Fuad sepanjang saki-baki hayatnya.

Sebagai artis suara latar, Din sempat menghasilkan album celoteh bersama Aznil Nawawi berjudul Sawancara Aznil Dengan Din yang diterbitkan oleh Kirabagus edaran PonyCanyonpada tahun 2000. Selepas itu pada 2002, beliau tampil dengan album Din Beramboi Cari Makan yang memuatkan lagu dan sketsa, terbitan Broadway.

Sepanjang dasawarsa 2000-an, Din banyak terlibat dalam bidang lakonan filem dan televisyen. Antara filem-filemnya termasuk Baik Punya Cilok dan Los dan Faun. Din pernah berkata dia sering menerima tawaran berlakon di bawah arahan Afdlin Shauki atau berlakon bersama pengarah itu “kerana cara mereka berlawak hampir serupa.” Pada tahun 2005, Din melakonkan watak bapa kepada watak Ning Baizura dalam video muzik “Awan yang Terpilu”, antara watak-watak serius yang jarang dilakukannya. Setahun berikutnya, beliau berlakon dalam siri TV kanak-kanak Afi dan Abah, salah sebuah drama tempatan terawal Astro Ceria sewaktu dilancarkan pada tahun 2006, menerusi watak Pak Rahim, penyelia kepada bapa Afi.

Puncak kemasyhuran
Mulai 5 Januari 2009, Din Beramboi bergandingan dengan Aznil Hj Nawawi sebagai pasangan juruhebah mengemudi slot Riuh Pagi di Era, sebagai satu langkah penstrukturan semula stesen radio berkenaan yang berhadapan dengan kemerosotan jumlah pendengar kepada pesaing terdekatnya, Hot FM. Segmen Drama Sebabak dan Sawancara menyerlahkan lagi bakatnya berlawak secara spontan.

Di samping kerjaya seorang juruhebah radio yang sudah sebati dengan dirinya, Din Beramboi juga mempunyai program bual bicaranya sendiri, Wuhai Beramboi disiarkan di saluran Astro Warna. Menampilkan bakat Din beramboi bermain gitar sambil berbual dengan artis undangan secara lebih santai dan ringan. Jika Wuhai Beramboi disiarkan setiap Selasa jam 9.30 malam, watak Raja Kapoor yang dipegangnya akan diingati dalam program Mandi yang menemui penonton pada Isnin, 9.30 malam di Astro Warna juga.

Disamping diberi kepercayaan dengan program tetap, beliau juga terlibat dengan banyak undangan sebagai artis undangan seperti program Nabil: Lu Fikirlah Sendiri, Macam-Macam Aznil, Jangan Lupa Lirik dan lain-lain. Di samping beberapa watak tambahan dalam filem dan drama tempatan suaranya juga biasa kedengaran sebagai suara latar iklan, rencana TV mahupun sebagai pengacara majlis.

Adakalanya kelibat beliau dapat dilihat dalam rancangan Spontan bersama pengarah dan pelakon Afdlin Shauki, Sharifah Shahira dan Harith Iskandar. Dan sebelum itu rancangan popular Ah-Ha di stesen TV3, rancangan keluarga Ape-Ape Aje juga di stesen yang sama. Dan di TV9 hos penyeri bersama Os dan Shamsul Ghau Ghau dalam Apa Ke Halnya. Beliau juga pernah juga menjadi hosWakenabeb, program realiti ‘melampau’ berbentuk menyakat selebriti terkenal.

Ternyata pembabitan beliau sebagai salah seorang juri dan tenaga pengajar Raja Lawak 4 di samping Afdlin Shauki dan Bob Lokman adalah kemuncak populariti beliau, lawak jenaka dan personalitinya dapat diterima dengan hati terbuka, telatah lucu dan jenaka spontan yang adakalanya tak terfikir dek akal serta komen-komen kepada peserta Raja Lawak yang dianggap kasar menambahkan sensasi.

Kematian
Pada 30 Mac 2010, negara digemparkan dengan berita Din Beramboi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, lalu dibius hingga tidak sedar diri. Laporan awal mengatakan beliau menghidap “penyakit kencing tikus”, tetapi sehari berikutnya, Din disahkan dihidapi sindrom kejutan denggi dan berada dalam keadaan kritikal sehingga hati dan buah pinggangnya gagal berfungsi. Sepanjang masanya di hospital, Din Beramboi menerima kunjungan dari sanak saudara, rakan-rakan seperjuangan dan ramai artis dari industri hiburan tanahair.
Pada 2 April 2010, 12.30 tengah malam, Din Beramboi sah menghembuskan nafas terakhirnya. Menurut adik iparnya, Sharifuddin Che Man yang mengumumkan pemergiannya, “Din mula kritikal pada pukul 11.30 malam setelah diberi CPR pertama sehingga CPR terakhir pada pukul 12.15 malam tadi … sehingga doktor memberitahu Din tidak dapat diselamatkan.” Adik perempuan Din, Rozana Mior Badri, berkata bahawa mesin sokongan hayat yang dipasang sejak beliau tidak sedarkan diri dihentikan atas nasihat doktor berikutan kegagalan organ dalaman berfungsi. Selain adik dan adik ipar, seluruh ahli keluarga Din termasuk ibu, kedua kakaknya berada di sampingnya pada detik akhirnya, bersama artis-artis Ifa Raziah, Azwan Ali dan Zul Yahya sebagai pelawat terakhir. Bapanya, Mior Badri telah dinasihat keluarga supaya berada dirumah kerana mempunyai lemah jantung.
Jenazah arwah dikebumikan pada 10.40 pagi, sepuluh jam selepas menghembuskan nafas akhir, di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan, Kepong. Din Beramboi tercalon buat pertama dan terakhir kalinya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 untuk anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular yang berlangsung pada 4 April, dua hari selepas kematiannya; bagaimanapun anugerah tersebut jatuh di tangan penyampai Hot FM, Faizal Ismail. Apapun, Faizal, di samping Aznil (Pengacara TV Lelaki Popular) danAhmad Nabil Ahmad (Pelakon Komedi Lelaki Popular) mendedikasikan anugerah mereka kepada arwah dalam ucapan penerimaan masing-masing. Sebagai tanda berkabung, pihak Astro menghentikan program yang melibatkan beliau selama tiga hari, sementara radio Era hanya memutarkan lagu-lagu sayu sepanjang hujung minggu.
Sementara itu, rancangan Melodi di TV3 pada 4 April 2010 di dalam segmen khas takziah didedikasikan untuk beliau, menyifatkan Din Beramboi sebagai pejuang seni sejati.
Pada 5 April, dua hari selepas pemergian Din Beramboi, rumah kediaman terakhir arwah di Sungai Buaya, Kuala Kubu Bharu, ketika itu kosong kerana semua ahli keluarganya berada di rumah ibu arwah, dipecah masuk oleh pencuri yang sempat melarikan peralatan dan barangan berharga kira-kira RM20,000; sehingga kini, pencuri tersebut belum berjaya dijejaki dan ditangkap.

Keluarga
Din Beramboi ialah anak ketiga daripada empat adik-beradik, dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Sewaktu kematiannya pada 2 April 2010, beliau beristerikan Suhaini Che Man, 42, dan mempunyai tiga orang anak, iaitu Nil Aina Adibah, 18 (sulung), Meor Shafiq Ar-Ridhwan, 12, dan Nir Ain Syuhada, 6 ,(bongsu).

Bakat
Selain berlawak secara sepontan sinonim dengan dirinya, Din Beramboi juga pernah berlakon watak yang serius di dalam drama.
Din Beramboi juga mahir bermain gitar dengan baik. Ini dibuktikan lagi dalam rancangan bual bicara kendalian beliau Wuhai Beramboi di mana beliau tidak kekok bermain gitar secara langsung. Minatnya terhadap instrumen itu sehinggakan beliau mempunyai koleksi gitar sendiri.
Penyanyi
Tetapi ramai tidak menyedari sebelum berlakon dan terlibat serius dalam bidang penyiaran beliau adalah seorang penyanyi, dengan menubuhkan kumpulan rock sendiri, Diplomasi. Din adalah vokalis kumpulan yang sempat mengeluarkan sebuah album, Seloka Cinta.Kumpulan Diplomasi ini dianggotai beliau selaku Vokalis utama, dengan menggunakan nama Mior Ahmad.
Anggota penuh kumpulan Diplomasi;
Β§ Vokalis – Mior Ahmad / Din
Β§ Bass/ Vokal 2 – Ibrahim
Β§ Gitar elektrik /akustik – Khai
Β§ Drum – Eddie
Album ini telah dikeluarkan pada tahun 1992 oleh Cherry Records dan diedarkan Musical Sound Organisations, penerbit album ini adalah Amiruddin S serta dibantu oleh kumpulan Diplomasi sendiri. Dan mereka turut mencipta beberapa buah lagu dalam album ini. Antara lagu hitnya Seloka Cinta dan Kejutan Cinta Sepi.
Filmografi & Diskografi
Filem

Tahun Judul Peranan
2010 Shh…Dia Datang Pelanggan Gerai 1 (tambahan)
2009 Duhai Si Pari-Pari (tambahan)
2009 Sifu & Tongga Jurujual butik (jemputan)
2008 Los dan Faun Tukang Kebun / Derus (pembantu)
2005 Baik Punya Cilok Tauke Tempat Memancing (tambahan)

Televisyen

Tahun Judul Peranan
2009 Wuhai Beramboi Rancangan Sendiri
2009 Raja Lawak Juri
2009 Spontan Peserta
2009 Jangan Lupa Lirik Peserta
2008 Actorlympics TV Peserta
2008 Wakenabeb! Pengacara
2006 Afi dan Abah Pelakon (Pak Rahim)
2005 Imsomnia Pengacara (rancangan permainan interaktif)

Album

Tahun Album Genre Label Dianggotai
1992 Seloka Cinta Rock Cherry Records Kumpulan Diplomasi: Mior Ahmad, Ibrahim, Khai & Eddie
2000 Sawancara Din Dan Aznil Komedi Pony Canyon Din Beramboi & Aznil Nawawi
2002 Din Beramboi Cari Makan Komedi Broadway Din Beramboi

(Visited 3 times, 1 visits today)
Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
error: Content is protected !!